Isnin, 29 Julai 2019 | 3:09pm
PENGARAH Urusan Serantau Shopee, Ian Ho (dua dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SimplySiti, Azuddin Rahman (kanan) dan Presiden SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin hadir pada majlis kerjasama antara Shopee, SimplySiti dan CIMB Islamic Bank Bhd di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Shopee optimis segmen wanita pacu pendapatan

KUALA LUMPUR: Shopee Malaysia mengunjurkan segmen wanita terus mencatatkan sumbangan kukuh kepada pendapatan kumpulan terutama dalam produk kecantikan dan kesihatan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata sebanyak 70 peratus asas penggunanya adalah wanita sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kumpulan.

"Segmen kecantikan kami sangat kukuh, inilah sebabnya kami bekerjasama dengan jenama seperti SimplySiti.

“Kita yakin segmen ini akan terus memacu pendapatan kumpulan dan seterusnya berada di kedudukan teratas dalam semua segmen dalam kalangan pesaing kami yang lain,” katanya selepas majlis kerjasama antara Shopee, SimplySiti dan CIMB Islamic Bank Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SimplySiti, Azuddin Rahman dan Presiden SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi kerjasama itu, peminat Datuk Seri Siti Nurhaliza berpeluang mendapatkan tawaran menarik produk SimplySiti, tiket konsert mini Siti Nurhaliza dan berpeluang menikmati minum petang bersama penyanyi nombor satu negara itu.

Mengulas lanjut, Ho berkata, jenama SimplySiti sudah berada di platform Shopee sejak usia kedai e-dagang itu belum mencecah satu tahun.

“Dengan kerjasama ini, kami berharap dapat berkembang bersama dan membawa jenama Malaysia melangkah ke pasaran global terutama di Indonesia yang mempunyai 80 juta pengguna berbanding hanya tertumpu di pasaran Malaysia yang memiliki 20 juta pengguna,” katanya.

Sempena kerjasama itu, Shopee akan mengadakan SimplySiti Super Brand Day yang berlangsung dari 2 hingga 7 Ogos ini, membolehkan pengguna mendapat potongan sehingga 60 peratus manakala pemegang kad kredit CIMB Islamic memperoleh potongan tambahan RM15 dan prabayar CIMB mendapat poongan RM10 dengan perbelanjaan minimum RM70.

Mengenai konsert mini Shopee X SimplySiti yang akan berlangsung pada 14 September ini, peminat boleh mendapatkan tiket di Shopee bermula 2 Ogos pada harga RM350 dan RM450.

Bagi menghargai peminat Siti Nurhaliza di laman Shopee, perbelanjaan minimum RM250 bagi produk SimplySiti sepanjang tempoh promosi Super Brand Day melayakkan menerima hadiah bernilai sehingga RM900 serta berpeluang minum petang bersama Siti Nurhaliza pada 18 September ini di Grand Hyatt Kuala Lumpur.

SimplySiti Super Brand Day dianjurkan sempena Shopee Brands Festival yang berlangsung dari 1 hingga 18 Ogos, dengan tawaran serendah RM1 setiap hari semasa Jualan Mengejut.

Shopee Malaysia kini merekodkan 20 juta pengguna dan mencatatkan 500,000 penjual aktif dalam platform digitalnya.

Berita Harian X