Jumaat, 26 Julai 2019 | 3:53pm

amaxMALL platform e-dagang pacu PKS

KUALA LUMPUR: amaxMALL, platform e-dagang pertama menyokong usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akan memacu industri itu ke peringkat lebih jauh menerusi penekanan aktiviti pemasaran.

Sebagai perintis laman e-dagang untuk PKS, perkhidmatannya tidak terhad kepada penjualan produk PKS secara dalam talian, malah turut memberi latihan menyeluruh menerusi penekanan pemasaran.

“Dalam suasana perniagaan masa kini, adalah penting bagi usahawan di luar sana mempunyai laman web e-dagang sendiri untuk memberi kredibiliti kepada perniagaan mereka dan tidak hanya bergantung kepada media sosial untuk berniaga.

“Dengan adanya laman web e-dagang sendiri, usahawan PKS dapat menguruskan perniagaan dengan lebih berkesan dan pengguna juga boleh melihat dengan lebih jelas deskripsi serta harga barangan yang dijual.

“Pengurusan perniagaan yang dinyatakan termasuk pengurusan pembelian, pembayaran dan penghantaran yang boleh didigitalisasi,” kata platform itu dalam satu kenyataan.

Ia berkata, amaxMALL akan melancarkan program ‘bworks’ bersempena Forum ‘SME Route to Digital and Hypermarket’ yang dijangka disempurnakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 Julai ini.

“Forum berkenaan adalah adalah edisi pertama siri jelajah amaxMALL untuk menggalakkan digitalisasi perniagaan oleh usahawan PKS dengan menggunakan bworks bagi membolehkan usahawan mendapat laman web e-dagang sendiri pada harga yang berpatutan; latihan dan peluang menjual produk mereka ke rangkaian runcit dan pasar raya besar,” katanya.

Pada 2018, amaxMALL membawa produk tempatan dengan 138 unit penyimpanan stok (SKU) ke pasar raya hiper Giant.

Setakat ini 306 SKU PKS dipasarkan oleh amaxMALL melalui Giant, Cold Storage, Mercato, Jasons, Watsons Online dan tidak lama lagi 87 SKU akan dibawa masuk ke AEON Wellness.

Antara produk tempatan yang dimasukkan ke pasar raya hiper ialah Dapur Ibu, Carvers, Gramps Asia, Mak Mah, Kincirmas, Serunding Haji Wan, Pawada, Orikel, Kohilal, Cerealmond, Mylesung dan Vata Asli.

Berita Harian X