X
Jumaat, 26 Julai 2019 | 2:35pm

Untung bersih enam bulan Westports meningkat

KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd (Westports) mencatatkan keuntungan bersih RM306.22 juta pada enam bulan berakhir 30 Jun 2019, meningkat 24.6 peratus berbanding RM245.61 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji meningkat 11.6 peratus kepada RM869.64 juta, daripada RM779.12 juta.

Peningkatan keuntungan pengendali pelabuhan itu dipacu oleh pengendalian jumlah kontena yang meningkat, manakala kos jualan yang dilaporkan di bawah peraturan perakaunan baharu kekal stabil.

Syarikat berkenaan turut memecah rekod tahap kapasiti kontena pada suku kedua 2019 dengan mengendalikan 2.74 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki), manakala dalam tempoh enam bulan jumlah meningkat sebanyak 17 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada 5.27 juta TEU.

Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata Westports terus menikmati pemulihan jumlah yang menggalakkan selepas berjaya melangkah ke penanda aras baharu dan jumlah pengendalian kapal tahun lalu.

“Pertumbuhan menggalakkan bagi segmen Intra-Asia pada masa depan juga menyokong pertumbuhan jumlah kontena syarikat sebanyak 17 peratus, yang mana melebihi purata industri bagi jumlah kontena.

“Kami juga berusaha untuk mencipta rekod dunia baharu bagi produktiviti terminal kontena dengan mencapai 801 pengendalian kontena dalam tempoh sejam di Pelabuhan CMA CGM Jean Mermoz di Westports.

“Pencapaian ini mencerminkan kerjasama kerja berpasukan, pendekatan yang difokuskan kepada pelanggan dan kemudahan terminal yang sangat baik di Westports,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, Westports akan berusaha untuk mencapai pengendalian kontena lebih banyak pada 2019 meskipun berdepan kadar pertumbuhan industri yang sederhana.

“Selain itu, kami juga dalam perancangan untuk memperluaskan terminal kontena sebagai usaha mengukuhkan lagi operasi syarikat, serta Pelabuhan Klang sebagai pintu pelabuhan utama perdagangan negara,” katanya.

Berita Harian X