Rabu, 24 Julai 2019 | 4:02pm

Malaysia Airlines tumpu perkukuh perniagaan bukan teras

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) merancang memperkasakan enjin pertumbuhan perniagaan bukan terasnya menerusi perluasan kerjasamanya dengan syarikat gergasi pelancongan terbesar dunia, TUI Group.

TUI Group, syarikat pelancongan berpangkalan di Jerman memiliki rantaian operasi pelancongan lengkap di lebih 180 destinasi seluruh dunia termasuk 380 hotel milik kumpulan termasuk berjenama mewah, 1,600 agensi pelancongan, lima syarikat penerbangan pelancongan Eropah dengan operasi keseluruhan 150 pesawat dan 17 kapal pelancongan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Luqman Mohd Azmi, berkata strategi itu sejajar dengan rancangan kumpulan untuk menggandakan sumbangan perniagaan bukan terasnya hampir 10 peratus kepada keseluruhan pendapatan kumpulan tahun ini berbanding lima peratus kini.

Katanya, pelancaran MHholidays sebagai platform pasaran pelancongan terkini Malaysia Airlines dengan kerjasama TUI itu satu permulaan dan pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut dengan gergasi pelancongan itu bagi menawarkan lebih banyak produk pelancongannya.

“Masih banyak spektrum pelancongan yang boleh ditawarkan TUI termasuk perkhidmatan rekreasi, kapal pelancongan dan sebagainya yang berpotensi menjadi produk tumpuan untuk dilaksanakan secara bersama pada masa depan.

“Sebagai permulaan, fokus kami adalah untuk perniagaan ‘outbound’ (menyediakan pakej pelancongan untuk pasaran domestik melancong ke luar negara), dan kami juga sedang berbincang untuk turut sama meningkatkan perniagaan ‘inbound’ (membawa masuk pelancong asing ke destinasi pelancongan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran MHholidays di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Hadir sama ialah Lembaga Pengarah Eksekutif TUI Group, Frank Rosenberger.

MHholidays menyediakan platform kepada pelanggan untuk menempah pakej pelancongan yang disesuaikan mengikut kehendak mereka menerusi gabungan bersama perkhidmatan penerbangan dan hotel.

Ia menawarkan lebih 5,000 hotel dan 50 destinasi seluruh dunia yang boleh dipilih pelanggan untuk mendapatkan tawaran eksklusif daripada Malaysia Airlines pada harga menarik termasuk penjimatan sehingga 80 peratus bagi tempahan hotel.

Sempena pelancaran itu, MHholidays turut menganjurkan pertandingan media sosial di Instagram sehingga 6 Ogos 2019, yang menawarkan hadiah pakej penerbangan dan penginapan hotel lima bintang di Bangkok, Kota Kinabalu atau Pulau Pinang, selain lima hadiah penginapan di Junior Suite Hotel Maya Kuala Lumpur.

Berita Harian X