Khamis, 18 Julai 2019 | 5:26pm
TONY Fernandes
TONY Fernandes

AirAsia mahu cari rakan kongsi, bukan bersaing

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia berkata syarikat itu mahu mencari rakan kongsi dan bukannya persaingan dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes dalam hantaran Twitter terbaharunya berkata pengawal selia dan operator lapangan terbang itu sepatutnya menyokong pemegang kepentingan - syarikat penerbangan dan penumpang - dengan layaran adil.

“Kami hanya mahu Malaysia Airports memahami model kami dan membantu. Bantu kami wujudkan lebih banyak pekerjaan. Kami adalah syarikat penerbangan tambang rendah, pelanggan terbesarnya.

“Selama 18 tahun kami hanya meminta untuk menjadi rakan lapangan terbang. Seperti kedudukan kami dengan GE Aviation, Airbus atau Credit Suisse Group AG,” katanya.

Tony juga mengulangi kekeliruannya mengenai caj perkhidmatan penumpang (PSC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang sama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau percaya kadar itu ‘tidak adil’ memandangkan ketiga-tiga lapangan terbang itu mempunyai kemudahan dan perkhidmatan yang berbeza, selain keadaan Gate di klia2 yang tidak selesa yang sepatutnya diberikan pertimbangan daripada mengenakan cukai lapangan terbang yang sama.

“Mavcom sepatutnya menjaga kepentingan penumpang,” katanya.

“Cukai lapangan terbang yang tidak adil kepada penumpang kami. Tiada kawal selia di lapangan terbang? Lebih buruk, setiap penumpang (perlu) membayar RM1 setiap kali terbang supaya Mavcom boleh ada bajet!” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X