Rabu, 17 Julai 2019 | 4:45pm
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng (dua dari kanan) bersalaman dengan Gokhan Ogut ketika memeterai memorandum persefahaman (MoU). - Foto NSTP
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng (dua dari kanan) bersalaman dengan Gokhan Ogut ketika memeterai memorandum persefahaman (MoU). - Foto NSTP

Gamuda Land, Maxis bekerjasama wujud bandar 5G

KUALA LUMPUR: Gamuda Land dan Maxis menjalin perkongsian strategik untuk melantik Maxis sebagai penyedia penyelesaian dan kesalinghubungan pilihan untuk mewujudkan perbandaran 5G pertama Malaysia di Gamuda Cove.

Kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk Maxis menyediakan dan memasang perkhidmatan dan prasarana rangkaian 5G di Gamuda Cove, pembangunan perbandaran terbaharu Gamuda Land.

Di bawah MoU itu, Gamuda Land juga akan bekerjasama dengan Maxis untuk memasang gentian di sebahagian daripada Gamuda Cove dengan kesalinghubungan jalur lebar berkelajuan tingginya.

Kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua pihak meneroka penyelesaian peruncitan pintar dan bandar pintar dalam semua perbandaran Gamuda Land di Malaysia, kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

“Kami sudah tentunya melihat teknologi sebagai pemboleh utama dalam memacu persekitaran yang pintar dan lestari pada masa depan tetapi bandar pintar bukan hanya tentang kelebihan teknologi semata-mata.

“Ia adalah mengenai perancangan pintar pada masa depan dan menggambarkan pertumbuhan jangka panjang bagi perbandaran kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata komitmen syarikat itu adalah untuk memenuhi peningkatan gaya hidup digital setiap orang dengan mendekati lebih ramai individu, rumah dan perniagaan menerusi keupayaannya dalam penyelesaian berpusat.

“Ini adalah perkongsian yang penting kerana kami memanfaatkan potensi besar teknologi generasi seterusnya dan penyelesaian pintar,” katanya.

Perkongsian itu adalah susulan daripada kerjasama sebelum ini pada 2018, apabila Maxis menyediakan pelan gentian MaxisOne Home yang disesuaikan bagi perbandaran twentyfive.7 Gamuda Land di Kota Kemuning.

Maxis memulakan inisiatif 5G, menilai teknologi itu dan menjalankan ujian demonstrasi di makmalnya sejak beberapa tahun lalu.

Pada Mac tahun ini, Maxis muncul sebagai syarikat telekomunikasi pertama memulakan ujian langsung 5G di negara ini bagi menyediakan analisis mendalam mengenai ciri-ciri 5G, termasuk penggunaan spektrum jalur lebih tinggi.

Berita Harian X