Selasa, 16 Julai 2019 | 5:06pm
Sejak pelancaran X70, PROTON mencatatkan pertumbuhan jualan yang kukuh. - Arkib NSTP

Pemulihan PROTON terbukti berkesan

KUALA LUMPUR: Pemulihan PROTON Holdings Bhd benar-benar menjadi kenyataan dengan memperlihatkan pengeluar kereta nasional itu mampu menguasai pasaran meskipun berdepan persekitaran pasaran yang sukar.

Sebahagian besar penganalisis berpendapat, kemasukan Zhejiang Geely Holdings Group sebagai pemegang saham 49.9 peratus pada 2017 adalah langkah yang tepat dalam usaha memulihkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu.

Pelbagai inisiatif pemulihan dilaksanakan Geely yang kini membuahkan hasil dengan penguasaan pasaran PROTON semakin meningkat susulan pelancaran model baharu, X70.

PROTON mencatatkan jualan tertinggi baharu sebanyak 10,611 unit pada Mei 2019, yang mana kali terakhir ia mencatatkan jualan lebih 10,000 unit adalah pada Julai 2015.

Pada Jun, pengeluar kereta nasional itu mencatatkan jualan sebanyak 7,615 unit, yang mana ia adalah angka kedua tertinggi dicatatkannya bagi 2019, sekali gus menguasai 18.1 peratus daripada pasaran automotif Malaysia dalam tempoh sebulan, apabila jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan merosot sebanyak 30.8 peratus iaitu 42,090 unit.

“Sejak pelancaran X70, PROTON mencatatkan pertumbuhan jualan yang kukuh, sekali gus menunjukkan permintaan pengguna yang menggalakkan untuk modelnya yang menarik, X70 dan Persona.

“Kami percaya pemulihan Proton adalah benar dan mapan,” kata HLIB Research dalam nota penyelidikannya.

Firma penyelidik itu juga berkata, beberapa model menarik PROTON akan datang termasuk Saga facelift, X70 CKD, X50 baharu dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pada 2019-2020, dijangka akan mengekalkan momentum pertumbuhan pengeluar kereta nasional itu.

Secara individu, PROTON X70 terus menjadi antara produk PROTON paling popular.

Bagi separuh pertama tahun ini, sebanyak 15,175 unit sudah diserahkan kepada pelanggan, menjadikannya pendahulu jualan kumulatif untuk keseluruhan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV), di samping turut mengukuhkan kedudukannya sebagai SUV premium dan eksekutif paling laris.

Berita Harian X