Jumaat, 12 Julai 2019 | 4:57pm
Boustead Holdings Bhd
Boustead Holdings Bhd

Boustead lantik empat lembaga pengarah baharu

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (BHB) melantik empat individu berkaliber ke dalam lembaga pengarahnya berkuatkuasa 15 Julai ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, BHB berkata pelantikan baharu itu merangkumi Leftenan Jeneral Datuk Fadzil Mokhtar (bersara) sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas; Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas; Abraham Verghese sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dan Loong Caesar sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas.

“Dengan adanya ahli lembaga pengarah yang berpengalaman dan dari pelbagai sektor, kumpulan pastinya memperoleh manfaat daripada latar belakang dan pengalaman luas mereka,” katanya.

Fadzil sebelum ini berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 41 tahun dalam pelbagai kapasiti termasuklah Penasihat Undang-undang di Kontinjen Pengaman Malaysia di Bosnia Herzegovina.

Beliau mempunyai pengalaman operasi yang meluas dalam mengendalikan cabaran keselamatan.

Sementara itu, Nonee mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri aeroangkasa dan pertanahan dan kini menjawat jawatan Pengerusi Global Turbine Asia Sdn Bhd selain bergelar rakan kongsi di firma guaman Arthur Yeong Nonee Ashirin Advocates and Solicitors.

Abraham pula mempunyai pengalaman luas dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perundingan kewangan. Pada masa ini, beliau juga menganggotai lembaga pengarah Tadmax Resources Bhd dan beberapa syarikat persendirian lain.

Sementara itu, Loong Caesar pula mempunyai latar belakang undang-undang selama 34 tahun dalam bidang undang-undang komersial dan korporat.

Pada masa ini, beliau turut menganggotai barisan lembaga pengarah Mulpha International Bhd.

Berita Harian X