KUALA LUMPUR: PETRONAS sedang mempertimbangkan pelaburan berdaya maju dalam tenaga boleh diperbaharui seperti solar, angin dan biomas pada skala komersial, demikian kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Beliau berkata, penerokaan baharu itu adalah usaha syarikat minyak dan gas nasional itu dalam memenuhi permintaan sumber tenaga yang mapan.
Katanya, penerokaan dalam tenaga boleh diperbaharui itu juga akan menyokong inisiatif kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mencapai status ekonomi rendah karbon menjelang 2050.
"Minyak dan gas akan terus kekal sebagai perniagaan teras kami sejajar dengan penguasaan berterusan minyak dan gas dalam campuran tenaga utama.
"PETRONAS juga mengambil langkah untuk menerokai bidang pertumbuhan baharu melangkaui minyak dan gas konvensional," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Meja Bulat Tenaga Malaysia bertajuk "Membentuk Lanskap Masa DepanTenaga Malaysia anjuran bersama World Economic Forum, di sini, hari ini.
Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS juga memperuntukkan RM30 bilion bagi aktiviti huluan tahun ini.
Beliau berkata, separuh daripada jumlah pelaburan itu adalah untuk pelaburan domestik bagi memastikan tidak ada gangguan terhadap bekalan tenaga.