Isnin, 8 Julai 2019 | 5:17pm
Ketua Pegawai Eksekutif Japan Infrastructure Waymark (JIW), Shibata Takumi (tiga dari kiri); Naib Presiden MDEC, GopiGanesalingam (empat dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne, Kamarul A Muhamad (lima dari kiri) pada majlis memeterai kerjasama antara Aerodyne dan JIW di Tokyo.

Aerodyne sedia khidmat dron di Jepun

TOKYO: Aerodyne Group (Aerodyne) menjalin kerjasama dengan Japan Infrastructure Waymark (JIW) bagi menguruskan prasarana perkhidmatan berasaskan dron di Jepun dan syarikat Jepun yang berpangkalan di luar negara.

Kerjasama itu menyaksikan Aerodyne, penyedia perkhidmatan Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS), menyediakan perkhidmatan pemeriksaan, pemproses data serta platform laporan komprehensif bagi aset prasarana dalam sektor seperti kuasa dan pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul A Muhamad berkata Aerodyne berbangga dan teruja dengan kerjasama yang dijalin itu.

“Matlamat kami bukan hanya untuk membantu membangunkan dan menyediakan penyelesaian berasaskan dron di Jepun, tetapi juga bagi pasaran global, terutama syarikat Jepun yang beroperasi di luar negara.

“Pada masa ini, Aerodyne adalah satu daripada penyedia penyelesaian dron berpaksikan kepintaran buatan (AI) dengan operasi di lebih 25 negara di seluruh dunia dan jumlah itu semakin berkembang.

“Teknologi kami diguna pakai di peringkat global untuk memacu pembaharuan digital bagi memacu pengurusan pembaharuan digital serta aset prasarana utama seperti grid nasional, solar, angin dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aerodyne adalah ahli program Rangkaian Inovasi dan Pemesatan Global (GAIN) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), manakala JIW adalah anak syarikat milik penuh NTT West.

Sementara itu, Ketua Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata pihaknya melihat potensi besar yang dimiliki syarikat tempatan yang mengetuai pelbagai pasaran global dalam sektor seperti UAS.

“Objektif GAIN menyokong misi utama MDEC untuk memupuk juara teknologi global. Kami kini berada dalam landasan untuk membantu lebih banyak syarikat tempatan berkembang dan dikomersialkan menjadi ikon global.

“MDEC juga akan meneruskan peranan kami untuk menghubungkan syarikat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X