Rabu, 3 Julai 2019 | 9:00am

PROTON raih perkongsian pasaran terbaik dalam 47 bulan

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) berjaya mencatat sebanyak 18.1 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) tempatan bulan lalu iaitu angka tertinggi pernah diraih syarikat itu sejak Julai 2015.

Menurut kenyataan pengeluar kereta nasional itu, sejumlah 7,615 unit kenderaannya berjaya dijual pada Jun, dengan mana bulan sama menyaksikan TIV pasaran automotif Malaysia dijangkakan menguncup 30.8 peratus kepada 42,090 unit.

"Sebagaimana lazimnya bagi jualan automotif Malaysia, wujud penurunan ketara jumlah kenderaan selepas musim perayaan.

"Namun PROTON sebaliknya mencatat aliran berbeza apabila jualan meningkat sebanyak 23 peratus berbanding Jun tahun lalu yang membantu kita berada di tangga kedua untuk bulan ketiga berturut-turut," kata syarikat itu.

Ini menjadikan bahagian pasaran PROTON setakat tahun ini kepada 14.7 peratus iaitu lebih tinggi berbanding tahun penuh 2018 sebanyak 10.8 peratus.

Proton X70 muncul produk PROTON paling menyerlah dengan penghantaran 15,175 unit kenderaan utiliti sukan (SUV) itu direkodkan pada separuh pertama tahun ini.

Jualan model lain seperti Proton Saga juga terus berkembang dengan 2,541 unit penghantaran atau serahan pada Jun iaitu menyumbang kepada pertumbuhan jumlah jualan sebanyak 27 peratus pada separuh pertama 2019.

Malah, model lain yang kini dilengkapi dengan ciri-ciri pintar turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila tempahan bagi model Persona, Iriz dan Exora 2019 masing-masing merekodkan peningkatan purata sebanyak 108 peratus, 180 peratus dan 135 peratus berbanding angka tempahan bagi model sebelum dipertingkatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata bagi tempoh separuh kedua tahun ini, PROTON akan memberi tumpuan untuk terus merancakkan pasaran menerusi pelancaran model-model baharu dan dipertingkat sebagaimana dijanjikan pada awal tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X