Selasa, 2 Julai 2019 | 8:20am

PETRONAS beri kontrak TA4MS kepada 17 vendor tempatan

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memberikan Perjanjian Perkhidmatan Induk (MSA) bagi Integrated Turnaround Main Mechanical and Maintenance Mechanical Static (TA4MS) jangka panjang kepada 17 kontraktor tempatan, bagi menyelaraskan pemulihan loji dan pengurusan vendor penyelenggaraan harian.

Daripada 17 kontraktor itu, lima adalah usaha sama (JV) antara syarikat tempatan dan asing dengan rakan kongsi dari Malaysia menerajui kerjasama itu.

Melalui JV itu, kontraktor tempatan dapat memanfaatkan kepakaran rakan kongsi antarabangsa bagi meningkatkan keupayaan dan memacu pertumbuhan mereka, demikian menurut Petronas dalam satu kenyataan.

Petronas berkata, semua kontraktor itu turut dilantik sebagai syarikat peneraju Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas, untuk meningkatkan pengetahuan dan bantuan kepada penggiat industri yang lebih kecil dalam ekosistem mereka.

TA4MS akan meliputi semua kemudahan dalam negara meliputi huluan dan hiliran, termasuk Terminal Pengegasan Semula (RGT) gas asli cecair (LNG) membabitkan 28 unit operasi (OPU) dan dijangka mencatatkan penjimatan kos sebanyak lima peratus hingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Langkah perubahan, pemulihan dan kontrak penyelenggaraan harian akan menyediakan penggiat Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan saluran untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka, selain mencapai penjimatan kos dengan ketara bagi syarikat minyak nasional," kata Naib Presiden Perolehan Kumpulan, Samsudin Miskon. - BERNAMA

Berita Harian X