Jumaat, 28 Jun 2019 | 3:22pm
MOHAMED Shukri Mohamed Zain

Omcorp sasar jualan RM13 juta tahun depan

KAJANG: Omcorp Sdn Bhd, pengeluar daging proses premium halal, menyasar peningkatan hampir tiga kali ganda jualan pada tahun depan iaitu sebanyak RM13 juta berbanding RM5 juta tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Shukri Mohamed Zain, berkata potensi peningkatan ketara itu disumbangkan oleh eksport produk keluarannya untuk syarikat Nestle di Singapura dan Eropah.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) sebelum boleh mengeksport.

"Kami sudah memohon sijil dan permit daripada SFA sejak tiga bulan lalu dan yakin akan mendapat kelulusan daripada agensi ini sebelum akhir tahun ini.

"Sijil ini amat penting kerana dengannya akan membolehkan syarikat mula mengeksport produk ke seluruh dunia.

"Ketika ini, kami sudah pun menerima permintaan daripada negara luar untuk membeli produk kami, namun tidak boleh menunaikannya kerana masih belum menerima kelulusan daripada SFA," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media dan lawatan ke kemudahan Omcorp di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle dan Ketua Bahagian Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff dan Pengurus Operasi Halal dan Jawatankuasa Halal Nestle, Sarifuddin Mahmud.

Media turut dibawa melawat ke kemudahan seluas 14,000 kaki persegi milik Omcorp bagi melihat sendiri bagaimana produk daging proses keluaran syarikat itu dihasilkan.

Omcorp telah menjadi salah satu syarikat yang menyertai Program Pembangunan Vendor (VDP) Nestle. Di bawah bimbingan teknikal dari pihak Nestle, Omcorp telah berjaya mengeluarkan produk kandungan halal berasaskan ayam dan daging yang mencapai tahap kualiti dan spesifikasi yang tinggi justeru berjaya menjadi pembekal Nestle.

Mengulas lanjut Mohamed Shukri, berkata sehingga kini 90 peratus jualan syarikat adalah datang daripada Nestle.

"Kami membekalkan beberapa produk berupa bahan kandungan kepada Nestle Malaysia seperti serbuk ayam, lemak ayam, serbuk daging lembu serta lemak daging lembu," katanya.

Sementara itu Othman berkata, sejak 10 tahun lalu pihaknya telah membantu membangunkan lima syarikat termasuk Omcorp dalam VDP.

Katanya, daripada lima syarikat itu, Omcorp menunjukkan prestasi terbaik dan paling berjaya setakat ini.

"Selain itu, kami juga mempunyai Program SME Mentoring yang mana kami melatih dan mengajar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi amalan terbaik halal, pengawalseliaan, undang-undang, produktiviti dan sebagainya.

"Program ini diadakan selama dua hari dan sehingga kini sudah disertai lebih 600 PKS. Ia akan diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada PKS," katanya.

Ends

Berita Harian X