Selasa, 25 Jun 2019 | 3:42pm
Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Hamad Kama Piah. - NSTP/Aziah Azmee
Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Hamad Kama Piah. - NSTP/Aziah Azmee

Kilang UMW Toyota Motor di Bukit Raja antara aset terpenting

KLANG: Pembukaan kilang pembuatan kedua milik UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota Motor) di Bukit Raja di sini, bakal menjadi antara aset terpenting syarikat itu dalam merealisasikan sasarannya mengeluarkan kereta yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Hamad Kama Piah, berkata ini kerana kilang yang dilengkapi teknologi terkini itu akan membolehkan UMW Toyota Motor meningkatkan pengeluaran bagi memastikan kecekapan operasi selain kos yang berdaya saing.

Katanya, kilang berkenaan yang mempunyai lima ciri-ciri utama iaitu Kualiti Tinggi; Kecekapan Lebih Baik; Kemahiran Kakitangan Lebih Tinggi; Mesra Pekerja dan Mesra Alam.

Beliau berkata, bukan hanya kilang baharu itu mempromosikan suasana kerja yang selamat, ia juga menggunakan tenaga solar, sistem mengecat berasaskan air dan pelbagai inisiatif tenaga diperbaharui, seterusnya mengurangkan jejak karbonnya.

"Dengan perkembangan masa, Toyota berkembang dengan lancar, disokong oleh beribu-ribu rakyat Malaysia yang menjadikannya jenama pilihan. Dalam tempoh itu, jangkaan pelanggan berubah dan ada keperluan untuk kami berkembang bagi memenuhi pertumbuhan pasaran.

"Pada 2016, kami komited untuk membina kilang ini di Selangor. Keputusan ini didorong oleh sokongan kuat dan tidak berbelah bahagi daripada Kerajaan Selangor.

"Lokasi di Kawasan Perindustrian Bukit Raja juga berdekatan dengan Pusat Pengedaran Kenderaan Toyota, yang boleh dihubungi melalui rangkaian lebuh raya yang baik ke destinasi penting di seluruh negara," katanya pada Sambutan 50 tahun Pengeluaran Toyota di Malaysia, di kilang pengeluarannya di Bukit Raja, di sini, hari ini.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meraikan Sambutan 50 tahun Pengeluaran Toyota di Malaysia.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa; Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah China dan Asia, Toyota Motor Corporation, Tatsuro Ueda dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Selangor Youth Community (SAY) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pasangan Diraja itu turut dibawa meninjau operasi pembuatan kereta Toyota di kilang pengeluaran terbaharu itu.

Kilang berkenaan yang sudah mula beroperasi pada 10 Januari lalu, ketika ini menghasilkan dua model kereta penumpang iaitu Toyota Vios dan Totota Yaris selain mampu mengeluarkan model kereta kenderaan cekap tenaga (EEV).

Ia mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 kereta setahun dan dibina di atas tapak berkeluasan kira-kira 670,000 meter persegi dengan nilai pelaburan sebanyak RM2 bilion.

Satu lagi kilang pembuatan milik Toyota yang beroperasi di Shah Alam sejak 1968 kini menghasilkan kenderaan komersial iaitu Toyota Hilux, Toyota Fortuner, Toyota Innova dan Toyota Hiace.

Hamad berkata, UMW Toyota Motor juga komited untuk meningkatkan usahanya menggunakan bahagian kenderaan yang dihasilkan syarikat tempatan, selaras dengan hala tuju kerajaan, bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pembekal dan vendor tempatan untuk berkembang dan berjaya.

Pada majlis berkenaan, UMW Toyota Motor turut menyumbangkan Toyota Yaris kepada SAY untuk kegunaannya membabitkan orang muda.

Kereta berkenaan diserahkan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi pihak SAY yang dinaungi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Berita Harian X