Rabu, 19 Jun 2019 | 5:28pm

MSM cadang kaji semula model perniagaan

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd berkemungkinan akan mengkaji semula model perniagaan dengan mempelbagaikan produk berasaskan gula seperti gula campuran, gula cecair serta produk tambah nilai dan produk pemanis sihat.

Ia akan diambil jika prestasi kewangannya terus dipengaruhi pemegang permit import (AP) gula yang diluluskan kerajaan.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, berkata dua pengeluar utama gula di negara ini, termasuk MSM sendiri sentiasa berhubung dengan kerajaan dan menzahirkan kebimbangan serta pandangan terhadap AP yang diluluskan oleh kerajaan untuk dipertimbangkan semula.

“Kelulusan permit secara mendadak gagal mengimbangi pelaburan domestik MSM sebanyak RM1.1 bilion dan sekiranya keadaan ini tidak diurus dengan baik, kami mungkin perlu menggunakan alternatif lain yang akan memberi manfaat positif kepada MSM tanpa mengambil kira kepentingan pengguna dan negara.

“Antara rayuan yang dibuat dan akan terus suarakan kepada kerajaan adalah sebarang keputusan yang diambil, ia perlu dilakukan secara adil.

“Pada masa sama, kami giat meneroka aliran pendapatan lain dan pasaran eksport dengan mempelbagaikan produk berasaskan gula seperti gula campuran, gula cecair serta produk tambah nilai dan produk pemanis yang sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MSM Ke-9 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Bhd, Datuk Haris Fadzilah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Azhar berkata, MSM mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 2.25 juta tan termasuk kilang penapis terbaharu di Tanjung Langsat, Johor.

Kilang berkenaan yang siap pada Julai 2018, masih beroperasi pada kadar penggunaan sebanyak 30 peratus memandangkan lebihan bekalan dalam pasaran.

Beliau berkata, bersama dengan pengeluar gula lain, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR), terdapat kapisiti yang mencukupi untuk menampung permintaan domestik gula sebanyak 1.6 juta tan setahun.

“Bagaimanapun, AP yang dikeluarkan oleh kerajaan mendedahkan pengeluar gula bertapis tempatan kepada lebihan pasaran gula global, berikutan terdapat lebihan bekalan daripada pengeluar seperti Thailand yang dibawa terus ke pasaran tempatan,” katanya.

Berita Harian X