Selasa, 18 Jun 2019 | 5:08pm
Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan I-Berhad di i-City, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

I-Bhd tumpu pelaburan hartanah, rekreasi

SHAH ALAM: Segmen pelaburan hartanah dan rekreasi dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan I-Bhd dalam tahun kewangan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Syarikat pemaju hartanah itu menyasarkan sumbangan pendapatan daripada dua segmennya itu sebanyak RM300 juta, berbanding ketika ini yang banyak disumbangkan oleh segmen pembangunan hartanah.

Timbalan Pengerusi I-Bhd, Datuk Eu Hong Chew, berkata kumpulan melihat potensi pertumbuhan dalam segmen itu untuk memperoleh pendapatan berulang yang berterusan.

Hong Chew berkata, pihaknya yakin sektor pelancongan bakal terus menjadi peneraju dalam pendapatan negara selain permintaan berterusan bagi pemilikan hartanah.

Ketika ini, katanya segmen pembangunan hartanah menyumbang sekitar RM75 juta kepada kumpulan.

I-Bhd juga, katanya sudah menyiapkan sekitar 40 peratus daripada 13 juta kaki persegi kawasan yang diluluskan untuk pembangunan di i-City, manakala sebanyak 20 peratus lagi sedang dalam pembinaan untuk projek pembangunan bercampur.

Tambahnya, akan berlaku pelaburan hartanah yang besar dalam lima tahun akan datang dengan matlamat untuk mengukuhkan portfolio pelaburan hartanah kami sebanyak RM1 bilion.

“Kumpulan juga merancang untuk menaik taraf tarikan dan memindahkan lokasi taman tema untuk menarik lebih banyak kemasukan pelawat serta memberikan ruang kepada pembangunan hartanah.

“I-Bhd terus komited dalam hartanah dan akan melancarkan projek bernilai RM800 juta bagi komersial (RM230 juta) dan kediaman (RM560 juta) dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Kami terus melancarkan projek hartanah disebalik kelembapan ekonomi serta pasaran perlahan sektor hartanah ini kerana kumpulan percaya pasaran akan meningkat kerana masih terdapat permintaan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) I-Bhd di sini, hari ini.

Hong Chew berkata, lokasi hartanah di Shah Alam, i-City berada di kedudukan yang strategik dan berada dalam pusat segitiga emas Selangor yang berpotensi untuk dipertingkatkan.

Katanya, projek i-City dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM10 bilion akan berpertingkatkan dan memberi kesan limpahan kepada perniagaan perhotelan, runcit dan riadah.

Baru-baru ini, I-Bhd melancarkan pusat membeli-belah terbesar di i-City bernilai bernilai RM850 juta dengan 60 peratus pemilikannya dimiliki dan dikendalikan oleh Central Pattana Plc yang berpangkalan di Thailand, manakala baki 40 peratus dimiliki oleh I-Bhd.

Berita Harian X