Selasa, 18 Jun 2019 | 8:15am
REN Zhengfei. - Foto Reuters

Huawei mulai rasai kesan pengharaman AS

HONG KONG: Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies Co Ltd, Ren Zhengfei, berkata kesan pengharaman Amerika Syarikat (AS) ke atas syarikat itu adalah lebih teruk daripada jangkaan.

Beliau memberi amaran bahawa pendapatan syarikat akan susut kepada sekitar AS$100 bilion tahun ini dan tahun berikutnya.

Inilah kali pertama Huawei menilai kesan tindakan AS terhadap syarikat itu dan penilaian penurunan nilai Ren itu dibuat selepas beberapa minggu komen daripada eksekutif syarikat yang mengatakan bahawa Huawei, secara teknologi, boleh berdiri dengan sendiri.

Huawei tidak menjangka AS begitu bersungguh mahu “meretakkan” syarikat, kata Ren, bercakap di ibu pejabat syarikat itu Isnin.

AS meletakkan Huawei di dalam senarai hitam yang secara berkesan mengharamkan syarikat-syarikat AS daripada menjalankan perniagaan dengan firma China, mendakwa produk Huawei akan membolehkan China mengintip komunikasi AS.

Larangan itu memaksa syarikat, termasuk Google dan pereka cip ARM yang berpangkalan di Britain, mengehadkan atau menamatkan hubungan mereka dengan Huawei.

Penghantaran telefon pintar antarabangsa Huawei akan turun 40 peratus, kata Ren tanpa menyatakan tempohnya.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa gergasi teknologi itu bersedia menghadapi penurunan 40 peratus hingga 60 peratus dalam penghantaran telefon pintar antarabangsa.

Huawei mencatat pendapatan 721.2 bilion yuan (AS$ 104.16 bilion) tahun lalu dan beberapa bulan lalu berkata, ia menjangkakan pendapatan tahun ini melonjak kepada AS$125 bilion.

"Kami tidak menjangkakan mereka akan menyerang ke atas begitu banyak aspek," kata Ren, tetapi menambah beliau menjangkakan kebangkitan semula dalam perniagaan pada 2021.

"Kita tidak boleh mendapatkan pembekalan komponen, tidak boleh menyertai banyak organisasi antarabangsa, tidak boleh bekerja rapat dengan banyak universiti, tidak boleh berbuat apa-apa dengan komponen AS, dan tidak dapat menjalin hubungan dengan rangkaian yang menggunakan komponen itu."

Bagaimanapun, Ren berkata Huawei tidak akan mengurangkan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) meskipun kewangan syarikat terkesan dan syarikat itu juga tidak akan membuang pekerja secara besar-besaran. - Reuters

Berita Harian X