Jumaat, 14 Jun 2019 | 10:07am
Donald Trump bulan lalu meletakkan Huawei dalam senarai hitam yang menghalang syarikat itu daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat teknologi AS. - Foto fail Reuters

Huawei bangkit, sedia lancar Hongmeng ganti Android

MEXICO CITY: Seorang eksekutif Huawei, yang dilarang bekerja dengan firma teknologi Amerika Syarikat (AS), berkata gergasi telekomunikasi China itu dalam proses melancarkan sistem operasi (OS) ‘Hongmeng’ menggantikan OS Android buatan AS.

Andrew Williamson, Naib Presiden Komunikasi dan Hubungan Awam Huawei Technologies Co Ltd, dalam satu wawancara berkata syarikat itu juga akan mendapatkan tanda dagang ke atas Hongmeng, yang dikatakan mungkin sudah dilancarkan pada satu juta peranti di China.

Pentadbiran Donald Trump bulan lalu meletakkan Huawei dalam senarai hitam yang menghalang syarikat itu daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat teknologi AS seperti Alphabet Inc, yang mana OS Android yang dibangunkannya digunakan dalam telefon Huawei.

"Huawei sedang dalam proses bagi potensi melancarkan penggantian," kata Williamson di Mexico City.

"Ini bukan sesuatu yang dikehendaki Huawei. Kami gembira menjadi sebahagian daripada keluarga Android, tetapi Hongmeng sedang diuji, kebanyakannya di China. Saya percaya ia sudah dilancarkan pada lebih sejuta peranti."

"Kami akan cuba meletakkan tanda dagang ke atasnya," katanya.

Williamson berkata, beliau menjangka pertumbuhan pendapatan 2019 hampir mendatar pada sekitar 20 peratus, berbanding tahun lalu yang meningkat 19.5 peratus.

Huawei Mac lalu berkata, tiga kumpulan perniagaan utamanya mungkin mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini.

Williamson berkata, sekiranya ketegangan perdagangan menjadi perang perdagangan sepenuhnya, Hongmeng akan bersedia untuk digerakkan dalam beberapa bulan.

Data Pertubuhan Harta Intelek Dunia PBB menunjukkan bahawa Huawei, pengeluar rangkaian telekomunikasi terbesar di dunia, sudah memohon tanda dagang ke atas Hongmeng di beberapa negara.

Williamson berkata, pengeluar cip sedia maklum bahawa mengetepikan Huawei, ia boleh mendatang "malapetaka" kepada perniagaan mereka.

"Kami tidak, secara khusus, meminta sesiapa pun melobi bagi pihak kami. Mereka melakukannya secara sukarela kerana, bagi kebanyakan mereka, Huawei satu daripada pelanggan utama mereka," katanya. - Reuters

Berita Harian X