Jumaat, 14 Jun 2019 | 8:45am
Lafarge akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia.
Lafarge akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia.

Lafarge kekal disenarai susulan YTL dapat 77% saham

KUALA LUMPUR: Pengeluar simen Lafarge Malaysia Bhd (LMB) akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia berikutan YTL Cement Bhd hanya berupaya mengumpul 76.98 peratus saham yang diterbitkan LMB pada tarikh tawaran pengambilalihan mandatori ditutup.

YTL Cement, anak syarikat YTL Corporation Bhd yang pernah disenaraikan, menerima 220.72 juta saham, mewakili 25.98 peratus modal saham terbitan LMB, pada 5 petang semalam.

Bersama-sama dengan 51 peratus saham yang sudah dimilikinya semasa dokumen tawaran itu diberikan, ini meningkatkan jumlah pegangan saham YTL Cement dalam LMB kepada 76.98 peratus atau 654.07 juta saham, kata YTL Corporation dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

YTL Cement dipertanggungjawabkan membuat tawaran pengambilalihan bagi baki saham dalam LMB selepas membeli 51 peratus kepentingan dalam LMB daripada Associated International Cement Ltd (AICL) membabitkan pertimbangan tunai RM1.63 bilion bulan lalu.

Dalam notis pengambilalihan itu, YTL Cement menyatakan hasratnya untuk mengekalkan status penyenaraian LMB di Pasaran Utama, Bursa Malaysia kecuali ia mendapat persetujuan sah daripada langkah itu dan syarikat sekutunya menguasai 90 peratus atau lebih kepentingan dalam LMB.

Tawaran bagi baki saham dalam LMB dibuat pada harga RM3.75 sesaham, harga sama yang dibayar YTL Cement kepada AICL. - BERNAMA

Berita Harian X