Isnin, 10 Jun 2019 | 1:00pm
Mondelez Malaysia

Mondelez sasar jualan lebih tinggi tahun ini

PETALING JAYA: Peneraju produk biskut dan coklat, Mondelez Malaysia, menyasarkan pertumbuhan dua angka tahun ini hasil kerjasama dengan platform beli-belah dalam talian, Shopee.

Ketua Perancangan dan Pengaktifan Kategori, Mondelez Intenational (Malaysia dan Singapura), Ivan Oh, berkata kerjasama sejak 2017 itu terus menunjukkan peningkatan yang menggalakkan, dengan hasil jualan harian melonjak daripada satu angka kepada dua angka setiap tahun.

“Sebelum beralih ke Shopee, kami menjual produk melalui peruncit-peruncit di seluruh Malaysia, dan jumlah pendapatan ketika itu masih kukuh dengan peningkatan sebanyak satu angka.

“Namun, melalui platform e-dagang, pertumbuhan berlaku dengan lebih pantas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Mondelez International (Malaysia), baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun industri penjualan barangan runcit dalam talian masih kecil, namun berkembang pantas, dan berdasarkan data 20 juta pelanggan yang dimiliki Shopee, ia memudahkan Mondelez untuk menjangkau kepada lebih ramai pengguna.

Oh berkata, setakat ini terdapat lebih 100 produk Mondelez seperti Cadbury, Tiger, Oreo, Chipsmore, dan Jacob’s serta produk yang boleh ditempah khas dan edisi terhad, yang hanya boleh didapati di Shopee Mall.

“Kami juga kini menumpukan kepada segmen ‘e-hadiah’ bagi menyediakan pilihan tambahan kepada para pembeli dalam menjadikan produk Mondelez bukan sekadar untuk dimakan sendiri bahkan sebagai hadiah kepada orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sesetengah produk sensitif kepada suhu sekeliling, pembeli dalam talian tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa komited dalam memastikan kualiti pembungkusan dan penghantaran supaya pelanggan dapat menikmati produk dalam keadaan terbaik.

Oh berkata, bagi menjadikan Mondelez peneraju dalam industri snek tempatan, pihaknya bakal melancarkan beberapa produk baharu di Malaysia, dan Shopee akan menjadi platform terawal untuk menjual produk berkenaan.

“Sewaktu bulan kemerdekaan tahun lalu, kami melancarkan Cadbury Dairy Milk Kopi-C yang di Shopee dan ia menerima sambutan menggalakkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Marianne Chuo berkata, pihaknya berbangga dapat menjalinkan usaha sama dengan Mondelez, dan sentiasa menawarkan pelbagai penyelesaian pemasaran kepada semua penjual yang menyertai platform itu.

Melalui program yang ditawarkan kepada penjual seperti Universiti Shopee serta aktiviti menarik seperti Shopee Live, Shopee Quiz, Goyang Shopee, Shocking Sale, pihaknya yakin dapat membantu Mondelez mengukuhkan lagi jenama meskipun ia sudah mempunyai kekuatan tersendiri.

“Kami akan sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada semua penjual kami dan dengan kemahiran yang ada, kami yakin dapat membantu mereka dalam memasarkan produk masing-masing, seterusnya meningkatkan jualan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X