Khamis, 30 Mei 2019 | 9:02pm

Keuntungan bersih QL Resources bagi FY19 meningkat kepada RM216.74 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih QL Resources Bhd (QL) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, (FY19) meningkat kepada RM216.74 juta daripada RM194.98 juta dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Hasil meningkat kepada RM3.61 bilion daripada RM3.26 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2019 (Q4 2019), keuntungan bersih QL meningkat kepada RM43.23 juta daripada RM38.85 juta dicatatkan pada suku sama tahun lalu, manakala hasil melonjak kepada RM898.03 juta daripada RM783.87 juta sebelumnya.

Pada suku itu, jualan dan pendapatan pembuatan produk marin syarikat itu masing-masing meningkat sebanyak 18 peratus dan 45 peratus tahun ke tahun (y-o-y), disebabkan pemulihan kitaran tangkapan ikan adalah rendah di perairan Malaysia dan sumbangan lebih tinggi daripada produk berasaskan surimi.

Sementara itu, QL berkata jualan aktiviti minyak sawit (POA) merosot 13 peratus y-o-y pada Q4 2019, sebahagian besarnya disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah dan stok berkurangan.

“Walaupun harga MSM turun 19 peratus, pendapatan POA bagi Q4 2019 meningkat dengan ketara berbanding pada Q4 2018, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada syarikat sekutu QL, Boilermech, kadar pengekstrakan minyak lebih baik dan margin pengilangan MSM,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X