Khamis, 30 Mei 2019 | 6:34pm

Untung MRCB terkesan pendapatan tertangguh

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mencatatkan pendapatan RM234.1 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM8.4 juta pada suku pertama 2019.

Pendapatan rendah itu berikutan projek pembangunan hartanah baharu masih pada peringkat awal pembinaan, yang mana pengiktirafan pendapatan dan keuntungan adalah minimum, serta siapnya beberapa projek hartanah besar pada tahun lalu.

Sementara itu, PBT pula, terkesan oleh penangguhan pendapatan daripada Projek LRT3 berikutan pengubahsuaian model daripada Rakan Pelaksana Projek (PDP) kepada projek turnkey harga tetap, demikian kata MRCB dalam satu kenyataan.

Bahagian Pembangunan Hartanah & Pelaburan mencatatkan pendapatan sebanyak RM85.1 juta dan keuntungan operasi sebanyak RM3.0 juta pada suku pertama 2019.

Pendapatan dan keuntungan operasi yang lebih rendah adalah berikutan siapnya pembinaan dua projek hartanah penting, VIVO in 9 Seputeh dan Kalista Park Homes di Bukit Rahman Putra, yang mengakibatkan pendapatan daripada jualan dalam kedua-dua projek utama itu tidak lagi diiktiraf secara progresif.

Keuntungan baki pembangunan daripada projek itu akan diiktiraf pada suku berikutnya selepas proses perjanjian penjualan dan pembelian selesai.

Bahagian itu menjual hartanah bernilai RM75.0 juta pada suku pertama 2019 dan mempunyai jumlah jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM1.6 bilion setakat 31 Mac 2019.

Pegangan pelaburan kumpulan dalam MQ REIT juga terus menyumbang pendapatan berulang sebanyak RM5.7 juta bagi suku berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM4.3 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bahagian Kejuruteraan, Pembinaan & Alam Sekitar merekodkan pendapatan sebanyak RM132.7 juta dan keuntungan operasi RM16.7 juta pada suku pertama 2019.

Ia disumbangkan terutama oleh projek pembinaan yang sedang berjalan iaitu MRT Line 2 Pakej V210, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam CB2, kampus ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd dan Stadium Tertutup Larkin.

Syarikat usaha projek LRT3 50 peratus milik kumpulan itu menyumbang PBT sebanyak RM0.5 juta, berbanding dengan RM9.0 juta dalam tempoh yang sama 2018.

Setakat 31 Mac 2019, tempahan kontrak pelanggan luaran bahagian itu berada pada paras RM22.6 bilion.

Berita Harian X