Khamis, 30 Mei 2019 | 4:54pm
PENGERUSI UEM Sunrise, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa (tengah) bersama Ketua Pegawai Kewangannya, Mohamed Rastam Shahrom (kiri) dan Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng di Persada PLUS. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Harap dapat lanjutkan kempen HOC - UEM Sunrise

SUBANG: UEM Sunrise Bhd berharap kerajaan dapat melanjutkan tempoh penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang akan tamat pada akhir bulan depan.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Kenny Wong, berkata selaku antara pemaju utama yang mengambil bahagian dalam HOC, kempen itu ternyata membantu pihaknya menjual unit kediaman yang tidak terjual sebelum ini.

Katanya, pihaknya menyasarkan untuk menjual 235 unit kediaman sepanjang kempen itu dan setakat ini 70 peratus daripadanya sudah berjaya dijual atau ditempah oleh pembeli.

"Seperti kita tahu, kempen ini akan berakhir pada bulan depan dan kami berharap kerajaan akan dapat melanjutkannya kerana terdapat banyak permintaan.

"Selain itu, tempoh kempen ini juga agak singkat iaitu empat bulan sahaja walaupun ia sebenarnya dilancarkan pada Januari lalu, namun pelancaran rasmi ialah pada Mac lalu.

"Kami tidak menetapkan berapakah tempoh lanjutan yang dimahukan, jika tempoh minimum tiga bulan pun sudah memadai kerana ia bukan hanya baik untuk kami, tetapi juga kepada pembeli. Ini kerana ada pembeli yang mengambil masa sebelum membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan ke-11 syarikat itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusinya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohamed Rastam Shahrom.

HOC diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan membantu pemaju menjual unit kediaman yang tidak terjual dengan menawarkan insentif menarik buat pembeli.

Antaranya kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah dan surat cara perjanjian pinjaman untuk rumah yang dijual sepanjang tempoh HOC diadakan dari Januari hingga Jun ini.

Selain itu, pemaju juga dikehendaki menawarkan diskaun atau rebat sekurang-kurangnya 10 peratus kepada pembeli sepanjang kempen itu berlangsung.

Dalam pada itu, Zamzamzairani berkata, UEM Sunrise kini di dalam landasan untuk mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion pada tahun ini.

Katanya, perkembangan prestasi syarikat itu juga berjalan dengan lancar sehingga kini disebalik keadaan pasaran yang mencabar.

"Dengan pelancaran lapan atau sembilan projek baharu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion - RM1.4 bilion pada tahun ini dan jualan daripada stok inventori, kami yakin mampu mencapai sasaran jualan berkenaan," katanya.

UEM Sunrise mencatat perolehan sebanyak RM419.25 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 berbanding RM287.74 juta pada suku sebelumnya.

Setakat ini syarikat itu telah melancarkan projek dengan GDV sebanyak RM160 juta.

Berita Harian X