Rabu, 29 Mei 2019 | 9:28pm

Untung bersih Sime Darby Property melonjak

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, naik kepada RM265.08 juta berbanding RM33.67 juta dicatatkan dalam suku tahun sama tahun lalu.

Pendapatan meningkat kepada RM575.13 juta daripada RM559.50 juta sebelum ini, menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Prestasi cemerlang itu merupakan sumbangan daripada tiga segmen perniagaan, iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta riadah dan hospitaliti, selain keuntungan penjualan daripada Darby Park Executive Suites, Singapura sebanyak RM203.4 juta, katanya.

Mengenai masa depan, kumpulan itu yakin untuk mencapai sasaran jualannya berikutan kejayaan kempen Primetime 8, yang menyaksikan pembelian pelancaran baharu yang menggalakkan.

“Kumpulan juga akan memperkenalkan kempen Raya 2019 dari 15 Mei-30 Jun, yang akan terus membantu syarikat mengekalkan momentum jualan dan pembelian produk yang tinggi pada suku tahun akan datang.

“Sehingga suku pertama 2019, jumlah jualan belum dijelaskan sebanyak RM2.1 bilion,” katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X