Rabu, 29 Mei 2019 | 2:27pm

Untung bersih Sime Darby naik 64.4 peratus

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM222 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2019, meningkat 64.4 peratus daripada suku sama tahun sebelumnya, didorong oleh prestasi kukuh bahagian perindustrian.

Konglomerat itu merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) RM331 juta bagi tempoh dikaji, kenaikan sebanyak 47.1 peratus.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2019, operasi berterusan kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 67.9 peratus kepada RM764 juta, berbanding RM455 juta tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh prestasi kukuh operasi segmen perindustrian di Australia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata perniagaan perindustrian di Australia sekali lagi memberikan perolehan yang kukuh untuk menyokong pendapatan kumpulan.

“Memandangkan kami terus mendapat manfaat daripada aktiviti dagangan yang lebih baik dalam sektor perlombongan dan pembinaan di Australia, kami menjangkakan keadaan ini akan berterusan, kerana pelombong meningkatkan perbelanjaan untuk penggantian peralatan dan aktiviti pengembangan.

“Pada sembilan bulan tahun kewangan 2019, kumpulan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam industri perlombongan Australia, yang meningkatkan penghantaran peralatan sekali gus menyumbang kepada margin yang lebih tinggi daripada jualan peralatan dan alat ganti bagi sektor perindustrian.

“Ini memberikan sedikit kelegaan daripada ketidaktentuan yang dialami oleh segmen permotoran susulan pasaran automotif yang mencabar di China dan Singapura,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Segmen perindustrian mencatatkan peningkatan 22.3 peratus kepada RM575 juta dalam PBIT bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2019.

Segmen permotoran merekodkan PBIT sebanyak RM352 juta bagi tempoh sama, peningkatan 31.3 peratus tahun ke tahun.

Jeffri berkata, operasi segmen permotoran berjalan dengan baik bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2019 meskipun bersaingan meningkat di kebanyakan pasaran, yang mana kumpulan mencatatkan jualan lebih tinggi unit kenderaan BMW dan kenderaan mewah di China serta BMW dan Ford di Malaysia.

“Kami optimis dengan pelancaran model baharu, terutama dalam segmen premium akan memacu pertumbuhan kumpulan walaupun persekitaran pasaran yang mencabar,” katanya.

Berita Harian X