Selasa, 28 Mei 2019 | 1:26pm

Untung bersih suku pertama TNB susut

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih RM1.52 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2019, susut 28.1 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Ia disebabkan kesan Pelarasan Kawal Selia Lain yang perlu dikembalikan semula, rosot nilai bagi pelaburan antarabangsa dan cukai yang tinggi pada suku dikaji berikutan ketiadaan insentif elaun pelaburan semula pada tahun semasa yang dinilai.

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan meningkat 7.9 peratus kepada RM13.24 bilion bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu oleh jualan elektrik yang lebih kukuh.

Hasil dan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) kumpulan turut mencatat peningkatan sebanyak 17.6 peratus kepada RM4.96 bilion dengan margin EBITDA sebanyak 37.5 peratus berikutan kesan Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16.

Ketua Eksekutif dan Presiden TNB, Amir Hamzah Azizan, berkata jualan elektrik yang lebih tinggi dijangka dicatatkan berikutan peningkatan penggunaan elektrik disebabkan kesan cuaca panas di Malaysia pada masa ini.

“Margin EBITDA pada suku pertama tahun ini adalah positif kerana syarikat telah melaksanakan inisiatif utama untuk menyusun semula perkhidmatan perniagaan dalamannya untuk meningkatkan produktiviti bagi menyokong perkembangannya.

“Selain itu, kami turut meningkatkan inisiatif untuk memperluaskan perniagaan ke dalam bidang perniagaan tidak dikawal selia seperti sistem solar PV dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.

“Sejajar dengan sasaran kerajaan yang menetapkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu dipertingkatkan daripada dua peratus kepada 20 peratus menjelang 2025, TNB telah menetapkan sasaran untuk mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharunya di dalam dan luar Negara, kepada 1,700MW menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata TNB juga terus meningkatkan kapasiti penjanaan dalam pasaran strategik antarabangsa yang terpilih.

“Bagi meningkatkan prestasi penjanaan, keutamaan diberikan kepada pertumbuhan kapasiti tenaga boleh baharu dalam pasaran baharu dengan prospek pertumbuhan yang kukuh.

“Ini selaras dengan matlamat TNB untuk meletakkan dirinya sebagai peneraju tenaga boleh baharu di rantau ASEAN.

“Dengan iklim ekonomi semasa, kami memberi tumpuan terhadap usaha memperkukuhkan perniagaan dan kedudukan di negara-negara di mana kami beroperasi, dengan berhemat dalam pelaburan dan memastikan model perniagaan di negara-negara berkenaan berada pada kedudukan yang baik,” katanya.

Berita Harian X