Isnin, 27 Mei 2019 | 3:14pm

OCBC ketuai konsortium biaya LSS di Bukit Keteri, Perlis

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) mengetuai satu konsortium bagi membiayai loji solar berskala besar (LSS) di Bukit Keteri, Perlis sebagai usaha meningkatkan penjanaan kuasa daripada tenaga diperbaharui di Malaysia kepada 20 peratus menjelang 2025.

Ia membabitkan usaha sama antara Hanwha Energy Corporation Singapore Pte Ltd dan Konsortium Berseri Jaya Sdn Bhd atau dikenali KBJ HECMY Sdn Bhd (KBJ HECMY).

Projek berkenaan juga sebagai penanda aras baharu bagi pembiayaan projek bersindiket hijau membabitkan loji LSS di negara ini.

Pengarah Urusan yang juga Pegawai Bank Kanan OCBC Bank, Liputan Pelanggan & Ketua Perbankan Pelaburan, Tan Ai Chin, berkata OCBC Bank komited kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, dengan menyokong sasaran kerajaan Malaysia untuk meningkatkan peratus penjanaan kuasa daripada tenaga diperbaharui di negara ini kepada 20 peratus menjelang 2025.

“Pendekatan serampang dua mata kami terlebih dahulu memberhentikan pembiayaan loji jana kuasa arang batu dan kemudian menggantikannya dengan alternatif lebih mesra alam seperti loji LSS di Perlis.

“Pembiayaan projek hijau bersindiket ini memperlihatkan kesungguhan kami untuk membiayai pembangunan lestari selain menggiatkan usaha untuk meningkatkan peratus projek tenaga boleh diperbaharui dalam portfolio kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Loji solar berkenaan dijangka memulakan operasi komersial menjelang suku kedua 2020 di bawah Perjanjian Pembelian Kuasa 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

KBJ HECM adalah sebagai pengelola projek, manakala OCBC Bank ialah penaja jamin utama dan pengatur utama dimandatkan bagi pembiayaan projek bersindiket itu.

KBJ HECMY akan menggunakan dana daripada kemudahan ini untuk membiayai sebahagian daripada pembangunan loji jana kuasa solar 30MW di Perlis dan ia salah satu daripada pembida yang berjaya di bawah Pakej P3 (10MWa hingga 30MWac) dalam program tender LSS2 Suruhanjaya Tenaga.

Usaha pembiayaan projek berkenaan menyusuli pengumuman Kumpulan OCBC bulan lalu berhubung dengan pemberhentian pembiayaan loji jana kuasa bersumberkan arang batu untuk menggalakkan pemindahan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan hijau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hanwha Energy Corporation, Du-Hyoung Ryoo, berkata ia adalah kali pertama syarikatnya menceburi pasaran Malaysia sebagai pemaju loji penjana tenaga solar (PV) dan diharap projek berkenaan akan menjadi penanda aras bagi loji LSS masa depan di rantau ini.

Hanwha Energy Corporation Singapore ialah anak syarikat milik penuh Hanwha Energy Corporation (HEC), sebuah syarikat penyedia penyelesaian tenaga multinasional.

HEC pula adalah sebahagian daripada Kumpulan Hanwha, salah satu daripada konglomerat perniagaan terbesar di Korea Selatan dengan kepentingan perniagaan meliputi bahan kimia, bahan aeroangkasa dan mekatronik; pembinaan, perkhidmatan kewangan, riadah dan gaya hidup serta tenaga.

Berita Harian X