Isnin, 27 Mei 2019 | 11:24am

Samsung raih manfaat daripada sekatan ke atas Huawei - Fitch

BENGALURU: Samsung Electronics Co Ltd berpeluang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran telefon pintar susulan tekanan Amerika Syarikat (AS) ke atas Huawei Technologies Co Ltd, demikian menurut Fitch Ratings.

Syarikat teknologi, termasuk Google dan ARM, pereka cip yang dimiliki SoftBank Group, berkata mereka akan menghentikan membekal kepada Huawei.

Kehilangan akses kepada sistem android Google mungkin menjejaskan jualan telefon pintar Huawei di luar China, sehubungan itu memberi Samsung kesempatan untuk meningkatkan perkongsian pasarannya, kata Fitch Ratings dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, kerajaan AS mengenakan sekatan keras ke atas Huawei apabila Jabatan Perdagangan AS menghalang syarikat China daripada membeli barangan Amerika di tengah-tengah meningkatnya pertelingkahan perdagangan dengan China.

Agensi penarafan itu juga berkata syarikat pengeluar iPhone, Apple Inc, berkemungkinan menjadi satu lagi mangsa ketegangan perdagangan antara Beijing dan Washington, yang akan mempercepatkan lagi ia kehilangan perkongsian pasaran di China. - Reuters

Berita Harian X