Isnin, 27 Mei 2019 | 8:44am

Fiat Chrysler dan Renault akan umum penggabungan

MILAN/PARIS: Fiat Chrysler Automobiles (FCA) dan Renault dijangka membuat pengumuman dalam waktu terdekat bagi mengesahkan bahawa kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan penggabungan, apabila lembaga pengarah syarikat automotif Perancis itu memanggil mesyuarat pada awal pagi untuk membincangkan situasi itu.

Ia susulan berita yang tersebar pada hujung minggu bahawa kedua-dua syarikat automotif terkemuka di dunia itu sedang dalam rundingan berhubung menjalin kombinasi global komprehensif yang dapat menangani beberapa kelemahan utama dalam syarikat masing-masing.

Rancangan yang sedang dirundingkan akan membabitkan pemindahan ekuiti, demikian menurut sumber yang hampir dekat dengan rundingan itu.

Wall Street Journal semalam melaporkan bahawa kedua-dua syarikat sedang mempertimbangkan untuk mengadakan penggabungan pada asas sama rata, yang adalah antara opsyen dirundingkan.

Pengerusi Renault, Jean-Dominique Senard, membentangkan rancangan penggabungan FCA-Renault kepada Menteri Kewangan Perancis Bruno Le Maire pada Jumaat, demikian menurut laporan Les Echo di laman webnya.

Kerajaan Perancis mempunyai kepentingan 15 peratus dalam Renault.

Janji niaga yang dibincangkan itu termasuk jaminan yang meliputi urus tadbir korporat dan pekerjaan di Perancis dan Itali, demikian menurut surat khabar Perancis itu.

Tekanan bagi penggabungan dalam kalangan pengeluar kereta semakin meningkat hari ini yang berhadapan cabaran daripada elektrifikasi, peraturan pelepasan asas yang semakin ketat dan teknologi baharu yang mahal dibangunkan bagi kenderaan autonomi.

Kereta autonomi merujuk kepada kenderaan yang dapat dipandu dengan sendiri tanpa bantuan manusia.

Terdahulu pada tahun ini Pengerusi FCA, John Elkann, seorang daripada dinasti Agnelli di Itali yang mengawal syarikat itu, menegaskan komitmen keluarga beliau terhadap industri automotif.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa pihaknya bersedia untuk mengambil "keputusan berani dan kreatif" untuk membantu membina masa depan yang mantap dan menarik bagi syarikat itu. - Reuters

Berita Harian X