Khamis, 23 Mei 2019 | 9:29pm

Untung bersih suku pertama MBM Resources meningkat kepada RM49.7 juta

KUALA LUMPUR: MBM Resources Bhd meningkatkan keuntungan bersihnya kepada RM49.66 juta bagi suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac 2019, daripada RM32.82 juta setahun sebelumnya, sebahagian besarnya dipacu jualan hartanah dan peningkatan jualan kenderaan Perodua.

Mengecualikan keuntungan RM11.9 juta daripada jualan hartanah, keuntungan sebelum cukai (PBT) perniagaan motornya meningkat RM0.3 juta tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM5.5 juta manakala kerugian sebelum cukai dicatatkan bahagian pembuatan alat ganti autonya mengecil kepada RM3.4 juta daripada RM3.8 juta.

MBM Resources, yang memiliki 22.6 peratus saham dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), meraih RM42.83 juta dalam perkongsian PBT daripada sekutu, meningkat daripada RM36.79 juta pada tahun sebelumnya berikutan peningkatan jualan kenderaan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melaporkan hasil meningkat 14.9 peratus kepada RM532.45 juta daripada RM463.46 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya, dipacu permintaan lebih tinggi terhadap kenderaan Perodua seperti Myvi dan Axia, serta Perodua Aruz.

Dilaporkan jualan Perodua berkembang 9.5 peratus y-o-y kepada 82,700 unit bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Berhubung prospek, MBM Resources berkata ia mencatatkan prestasi memuaskan bagi suku pertama 2019.

“Meskipun pasaran dan persekitaran ekonomi adalah mencabar, kami kekal yakin untuk berkembang maju,” katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X