Khamis, 23 Mei 2019 | 10:00am
PENGARAH Urusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd, Nalin Jain.
PENGARAH Urusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd, Nalin Jain.

Volvo Car Malaysia bawa masuk EV dua tahun lagi

PETALING JAYA: Volvo Car Malaysia Sdn Bhd merancang membawa masuk kereta elektrik pertamanya (EV) ke pasaran Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Nalin Jain, berkata dalam tempoh itu pihaknya yakin Malaysia sudah bersedia atau separuh bersedia untuk mempunyai infrastruktur yang mencukupi bagi menyokong industri EV.

Katanya, ia termasuk mempunyai bilangan stesen pengecas yang mencukupi, yang pada masa ini menjadi halangan buat syarikat itu untuk membawa masuk EV ke Malaysia.

“Pada masa ini Malaysia masih kekurangan dari segi infrastruktur untuk menyokong keperluan EV, namun dalam tempoh dua tahun akan datang saya yakin ia sudah bersedia atau separuh sedia.

“Pada pandangan saya, jumlah stesen pengecas yang ideal untuk dipasang di mana-mana negara ialah di setiap jarak 150 kilometer. Ini kerana, secara purata EV boleh berjalan sejauh 300 kilometer (km) hingga 400 km sebelum perlu dicas semula,” katanya kepada BH ketika baru-baru ini.

Jain bagaimanapun tidak mendedahkan model EV apa yang mahu dibawa masuk ke pasaran tempatan nanti.

Beliau yang dilantik sebagai pengarah urusan baharu syarikat automotif berasal dari Sweden itu bermula 1 Mac lalu, menggantikan Lennart Stegland yang bersara selepas tiga tahun berkhidmat.

Jain sebelum ini adalah ketua pegawai kewangan Volvo Auto India dan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang automotif, perundingan dan teknologi.

Mengulas lanjut, Jain berkata, pihaknya juga tidak terburu-buru untuk membawa masuk EV kerana kereta elektrik plug-in hibrid (PHEV) yang dikeluarkan pihaknya sejak 2016 menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna.

Malah katanya, Volvo adalah satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang memasang dan mengeksport PHEV.

“Kenderaan jenis PHEV ini sebenarnya bertindak sama seperti EV yang mana turut boleh dicas namun pada masa sama, jika kuasa pada baterinya sudah habis digunakan, ia akan beralih kepada penggunaan bahan api.

“Tiga model kami iaitu XC90, XC60 dan S90 adalah jenis PHEV. Memandangkan Malaysia dan banyak negara di Asia termasuk India masih belum mempunyai stesen pengecas yang mencukupi, maka pengguna tidak perlu risau jika kehabisan kuasa bateri kerana model ini boleh menggunakan bahan api juga,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi jualan kereta Volvo pada tahun ini, Jain berkata, syarikat itu merekodkan pertumbuhan 90 peratus jualan pada suku pertama tahun 2019 berbanding suku sama tahun lalu.

Katanya, di sebalik kelembapan ekonomi dunia susulan pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat-China ketika ini, beliau yakin Volvo masih mampu untuk mencatat jualan yang tinggi pada tahun ini dan mengatasi prestasi tahun lalu.

Pada tahun lalu, Volvo Car Malaysia merekodkan jualan sebanyak 1,384 unit kereta dan menyasar pertumbuhan dua angka pada tahun ini dipacu oleh pengenalan model baharu dan pengukuhan permintaan model sedia ada.

Berita Harian X