Selasa, 21 Mei 2019 | 1:05pm
AS meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan dan beberapa syarikat telah menggantung perniagaan bersama firma China itu. - Foto Reuters
AS meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan dan beberapa syarikat telah menggantung perniagaan bersama firma China itu. - Foto Reuters

Saham firma teknologi Malaysia terima tempias sekatan Huawei

KUALA LUMPUR: Saham teknologi utama di Bursa Malaysia turut menerima tempias pada urus niaga semalam susulan tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas Huawei Technologies Co.

AS meletakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan dan beberapa syarikat telah menggantung perniagaan bersama firma China itu.

Google milik Alphabet Inc bertindak untuk berhenti menyediakan akses kepada aplikasi dan perkhidmatan proprietari kepada Huawei.

Antara firma teknologi utama tempatan yang terjejas adalah Malaysian Pacific Industries Bhd (MPI), Inari Amertron Bhd, Globetronics Technology Bhd, Vitrox Corp Bhd dan Pentamaster Corp Bhd.

Saham MPI susut 1.89 peratus atau 18 sen kepada RM9.32, Pentamaster turun 3.69 peratus atau 16 sen kepada RM4.18 dan Inari merosot 4 peratus atau enam sen kepada RM1.44 pagi ini.

Globetronics jatuh 2.37 peratus atau empat sen kepada RM1.65 dan Vitrox 0.99 peratus atau tujuh sen kepada RM7.01.

Firma teknologi tempatan terbabit mempunyai hubungan perdagangan secara langsung dan tidak langsung dengan Huawei.

Malah, konflik itu turut menyukarkan pemulihan teknikal ringgit yang terus susut berbanding dolar AS dalam masa terdekat.

Penganalisis menjangkakan ringgit diniagakan sekitar paras RM4.16 hingga RM4.18 berikutan ketidaktentuan impaknya terhadap sektor teknologi yang turut penting kepada ekonomi Malaysia.

Ringgit susut berbanding dolar AS yang menyaksikan mata wang AS itu terus mengukuh didorong oleh pulangan hasil lebih tinggi serta pertikaian perdagangan yang berlanjutan Washington-Beijing, sekali gus meningkatkan minat terhadap mata wang selamat.

Huawei disenarai hitam oleh AS dan mengeluarkan peraturan yang meletakkan Huawei dan 68 sekutunya di lebih 12 negara dalam Senarai Entiti, langkah yang menghalang syarikat itu membeli komponen daripada firma AS tanpa kelulusan kerajaan terlebih dulu.

Tindakan itu terjadi apabila kedua-dua ekonomi terbesar di dunia itu terbabit dalam perang tarif yang disifatkan pegawai AS sebagai amalan perdagangan tidak adil China.

AS percaya telefon pintar Huawei dan peralatan rangkaian boleh digunakan China untuk mengintip rakyat AS, tuduhan yang berulang kali dinafikan Huawei.

Jabatan Perdagangan AS terlebih dulu mengeluarkan notis Rabu lalu bahawa ia menambah Huawei ke dalam senarai hitam itu.

Huawei "terbabit dalam aktiviti yang bertentangan dengan keselamatan negara atau kepentingan dasar luar AS," kata perintah itu.

Berita Harian X