Isnin, 20 Mei 2019 | 1:32pm
Pemindahan Lynas ke AS susulan daripada isu pengawalseliaan yang berterusan di kilang pemprosesannya di Malaysia.
Pemindahan Lynas ke AS susulan daripada isu pengawalseliaan yang berterusan di kilang pemprosesannya di Malaysia.

Lynas Corp pindah kemudahan ke Texas

BENGALURU: Pelombong nadir bumi, Lynas Corp memeterai memorandum persefahaman (MoU) versama Blue Line Corp dari Texas untuk menubuhkan kemudahan pemisahan nadir bumi di Amerika Syarikat (AS).

Pemindahan Lynas ke AS itu adalah susulan daripada isu pengawalseliaan yang berterusan di kilang pemprosesannya di Malaysia.

Malaysia telah mengarahkan Lynas untuk menghapuskan sisa terkumpul di kilangnya jika mahu lesennya diperbaharui.

Lynas dan Blue Line akan bekerjasama sepanjang tahun untuk membangunkan kemudahan pemprosesan itu di Texas.

Usaha sama itu secara majoritinya akan dimiliki oleh Lynas, kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

Usaha sama itu akan membolehkan Lynas mengatasi jurang bekalan "kritikal" untuk pengeluar AS, kata syarikat itu.

Lynas sebelum ini membayangkan yang ia sedang mempertimbangkan untuk membina kemudahan pemprosesan baharu, susulan situasi di Malaysia.

Lynas adalah satu-satunya pengeluar utama dunia galian nadir bumi di luar China.

Antara bahan-bahan yang dihasilkan oleh syarikat itu seperti ‘neodymium-praseodymium’ yang digunakan dalam pelbagai aplikasi seperti komponen elektrik dan magnet berkuasa tinggi.

Syarikat itu tidak memberikan apa-apa butiran mengenai jumlah kos kemudahan di AS itu.

Lynas ketika ini ditawarkan pengambilalihan bernilai AS$1.1 bilion daripada konglomerat runcit dan bahan kimia, Wesfarmers Ltd, yang ditolak kerana menawarkan nilai yang rendah untuk perniagaannya.

Syarikat itu pada bulan lalu melaporkan peningkatan 33 peratus dalam pengeluaran nadir buminya pada suku ketiga. - Reuters

Berita Harian X