Isnin, 20 Mei 2019 | 1:08pm
ABDUL Rahman Ahmad

Pembangunan PNB 118 lancar, siap awal 2021

KUALA LUMPUR: Pembangunan menara ikonik 118 tingkat milik Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang dikenali PNB 118, berjalan lancar dan kini sudah mencapai 61 tingkat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pembangunan menara berkenaan dijangka siap menjelang awal 2021.

Beliau berkata, setakat ini kos pembangunan menara ikonik itu berada dalam jangkaan memandangkan kontrak pembinaannya adalah berdasarkan kontrak harga tetap.

Justeru, katanya kos pembinaan menara itu tidak terkesan jika terdapat sebarang peningkatan dalam bahan binaan.

“Pembangunan PNB 118 berjalan lancar dan ia akan siap seperti mana yang kita rancangkan mungkin pada awal 2021,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama lebih 150 anak yatim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini pembangunan PNB 118.

Menara ikonik itu bakal memberi nafas baharu kepada wajah Kuala Lumpur, yang mana ia akan menjadi menara pencakar langit tertinggi di Asia Tenggara dan ketiga tertinggi di dunia apabila siap kelak.

Mengulas sama ada PNB mempunyai cadangan untuk memasukkan Menara PNB ke dalam Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) selepas berpindah ke PNB 118, Abdul Rahman berkata,  pihaknya perlu mencari penyewa baharu bagi bangunan ibu pejabatnya itu jika bercadang berbuat demikian.

Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum membuat sebarang keputusan mengenai Menara PNB selepas berpindah ke PNB 118.

“Bangunan ini (Menara PNB) adalah bangunan lama. Kami perlu mengkaji terlebih dulu apa yang kami cadang untuk lakukan,” katanya.

Sementara itu, pada Majlis Berbuka Puasa PNB bersama lebih 150 anak yatim itu, PNB memberi sumbangan duit raya sebanyak RM100 setiap anak yatim yang hadir.

Selain itu, pengurus dana terbesar Malaysia itu juga menyumbangkan barangan keperluan seperti beg sandang dan tuala mandi di samping menyumbang RM10,000 masing-masing kepada empat rumah anak yatim yang dijemput hadir ke majlis berkenaan.

Rumah kebajikan anak yatim itu ialah Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Anak Yatim Islam dan Miskin Daerah Sabak Bernam, Sungai Besar; Pertubuhan Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat, Banting; Rumah Siti Khadijah Anak-Anak Yatim Puteri, Klang, Selangor dan Persatuan Jagaan Pertubuhan Pengurusan Agama Kebajikan Anak-Anak Yatim Sekendi, Sabak Bernam.

Berita Harian X