Khamis, 9 Mei 2019 | 2:27pm

Public Mutual lancar dana baharu

KUALA LUMPUR: Public Mutual, anak syarikat milik penuh Public Bank Bhd melancarkan dana baharu dikenali PB Global Technology and Healthcare Fund (PBGTHF).

Dana itu disasarkan untuk mencapai pertumbuhan modal bagi tempoh jangka panjang dengan melabur terutamanya dalam portfolio terdiri daripada saham berkaitan teknologi dan penjagaan kesihatan dan skim pelaburan kolektif di pasaran global.

“Dua sektor sasaran itu dipilih berikutan penerimaan produk dan perkhidmatan teknologi yang semakin meningkat, serta peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan dalam kalangan profil demografi penduduk berusia di ekonomi maju dan membangun seperti Eropah, Jepun dan China.

“Menerusi dana ini, para pelabur dapat memanfaatkan potensi pertumbuhan teknologi dan penjagaan kesihatan di negara-negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), Eropah, Asia Pasifik dan pasaran yang dibenarkan lain,” kata Public Bank dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Public Mutual, Yeoh Kim Hong, berkata PBGTHF mungkin melabur dalam syarikat perkakasan teknologi maklumat, perisian dan perkhidmatan serta saham pertumbuhan dalam bidang teknologi.

“Ia juga menawarkan pelabur pendedahan kepada penyedia penjagaan kesihatan seperti hospital dan pengeluar peralatan perubatan, syarikat farmaseutikal dan bioteknologi multinasional yang terbabit dalam penyelidikan peringkat awal,” katanya.

Harga terbitan awal bagi PBGTHF ialah 25 sen seunit semasa tempoh tawaran awal 21 hari daripada hari ini hingga 29 Mei, 2019, dan jumlah pelaburan awal minimum ialah RM1,000 manakala jumlah pelaburan tambahan minimum hanya RM100.

Pelabur boleh menikmati bayaran jualan istimewa serendah 4.00 peratus dan berpeluang memenangi hadiah menarik dengan melabur dalam PBGTHF bermula sekarang hingga 14 Jun 2019, bersempena dengan kempen 29 Awards Celebration Campaign 2019.

-- BERNAMA

Berita Harian X