Selasa, 7 Mei 2019 | 1:42pm
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck (dua dari kiri) dan Presiden Negara Chubb, Steve Crouch memeterai perjanjian kerjasama dalam satu majlis, baru-baru ini.

U Mobile jual produk insurans am Chubb

KUALA LUMPUR: Penyedia telekomunikasi, U Mobile memeterai kerjasama dengan Chubb Insurance Malaysia Bhd (Chubb) bagi menawarkan rangkaian produk insurans am kepada pelanggan dan bukan pelanggannya.

Bermula suku ketiga tahun ini, U Mobile akan menawarkan Insurans Kemalangan Peribadi Mikro yang disediakan Chubb bermula pada harga serendah RM6.

Ia juga akan menawarkan pelbagai rangkaian produk insurans motor dan insurans perjalanan menerusi dompet elektronik (e-dompet) U Mobile yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, dikenali sebagai GoPayz.

Bagi memudahkan pengalaman pelanggan, segala urusan sebut harga, pemohonan, pembelian dan pengurusan polisi Chubb akan dibuat sepenuhnya secara dalam talian menerusi aplikasi GoPayz dan laman web.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, berkata kerjasama terbaharu itu adalah usaha berterusan pihaknya untuk memberikan keselesaan kepada semua pihak.

“Perkhidmatan digital adalah keutamaan bagi U Mobile kerana ia membolehkan orang ramai mencapai potensi tanpa had mereka.

“Sebagai contoh, Chubb adalah satu syarikat insurans am yang sesuai sebagai rakan kongsi kerana mereka berkongsi visi yang sama dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

U Mobile juga akan menawarkan insurans motor dan insurans peranti sebelum hujung tahun ini.

Perjanjian kerjasama itu dimeterai oleh Heang Tuck dan Presiden Negara Chubb, Steve Crouch pada 3 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Heang Tuck berkata penyelesaian insurans am Chubb yang ditawarkan menerusi U Mobile akan menjadi begitu mudah untuk dimiliki dan memenuhi keperluan semua pihak.

“Apabila dilancarkan, kami akan menawarkan beberapa jenis insurans dengan premium yang rendah tetapi jika pelanggan mahu perlindungan yang lebih tinggi, ia juga boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Crouch berkata pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan U Mobile dalam menawarkan penyelesaian insurans am kepada pelanggannya.

“Kami menyasar untuk menjalin kerjasama rapat dengan U Mobile bagi memaksimumkan nilai dan menepati janji jenama kecemerlangan Chubb kepada semua pelanggan dan pihak berkepentingan di negara ini,” katanya.

Berita Harian X