Selasa, 7 Mei 2019 | 12:10pm

Saham Axiata, Digi meningkat susulan cadangan penggabungan

KUALA LUMPUR: Saham Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd menjadi saham paling untung pada sesi dagangan pagi ini berikutan pelabur menyambut baik berita bahawa kedua-dua syarikat itu dalam rundingan penggabungan.

Pada jam 11.20 pagi, saham Axiata Group meningkat 55 sen atau 13.61 peratus kepada RM4.59, sementara saham Digi pula meningkat 41 sen atau 9.07 peratus kepada RM4.93.

Semalam, Axiata Group dan Telenor ASA mengumumkan akan mewujudkan juara global baharu susulan perbincangan untuk menggabungkan operasi Asia masing-masing di bawah entiti global yang digabungkan (MergedCo).

Ia bakal menyaksikan Telenor menjadi pemegang saham majoriti MergedCo global dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan, manakala 43.5 peratus oleh Axiata.

Kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian gabungan berkenaan menjelang akhir suku ketiga 2020.

Public Investment Bhd berkata, penggabungan antara Axiata Group dan Telenor Group, yang menguasai 49 peratus kepentingan dalam Digi.Com adalah positif kepada Digi kerana ia menjadi pengendali mudah alih terbesar di Malaysia.

Ia berkata, menerusi penggabungan itu, DiGi berpotensi meningkatkan marjinnya berikutan penjimatan kos daripada perkongsian sumber, optimum rangkaian dan elak perbelanjaan modal.

Sementara itu, MIDF Research pula menyifatkan langkah kedua-dua syarikat telekomunikasi terkemuka itu akan membolehkan Axiata Group mempunyai lembaran imbangan lebih kukuh untuk melaksanakan perluasan pada masa depan.

Berita Harian X