Selasa, 7 Mei 2019 | 11:40am
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin. - Foto Owee Ah Chun
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin. - Foto Owee Ah Chun

Mydin tawar pelan Zurich Takaful di cawangan terpilih

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) dan Zurich Takaful Malaysia Bhd (Zurich Takaful) memeterai perjanjian 10 tahun bagi menawarkan pelan takaful yang mudah di cawangan MYDIN terpilih seluruh negara.

Kerjasama ini membolehkan pelanggan MYDIN mendapatkan maklumat serta pelan perlindungan yang sesuai melalui kaunter Zurich Takaful yang mula beroperasi di MYDIN Mall, Subang Jaya dan di kaunter lain yang akan dibuka secara berperingkat di lebih 60 pasar raya MYDIN seluruh negara.

Ia turut membabitkan platform digital seperti laman sesawang rasmi, aplikasi mudah alih dan berita elektronik yang akan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai produk Zurich Takaful.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, berkata kerjasama itu adalah yang pertama di pasaran runcit.

“MYDIN berbesar hati bekerjasama bersama Zurich Takaful untuk menawarkan cara yang mudah bagi membantu pelanggan mendapatkan perlindungan yang diperlukan supaya mereka boleh menjalani kehidupan dengan yakin,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance Malaysia Bhd dan Pengarah Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Bhd, Stephen Clark berkata kerjasama ini akan mengukuhkan kedudukan kedua-dua jenama dalam menawarkan produk dan khidmat termasuk pengalaman berbeza kepada pelanggan.

“MYDIN adalah jenama tempatan terkenal dan saya yakin ini adalah permulaan yang membolehkan kami menembusi dan membantu masyarakat dengan lebih meluas,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X