Jumaat, 3 Mei 2019 | 2:25pm

Pemegang saham Lafarge dinasihat tolak tawaran YTL

KUALA LUMPUR: AllianceDBS Research menasihatkan pemegang saham minoriti Lafarge Malaysia Bhd agar tidak menerima tawaran daripada YTL Cement Sdn Bhd untuk membeli 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu, kerana harga sahamnya boleh mendapatkan penilaian lebih tinggi.

Saranan itu dibuat meskipun firma penyelidikan itu berkata, langkah YTL Cement untuk membeli 51 peratus kepentingan di dalam Lafarge pada harga RM3.75 sesaham itu adalah positif.

AllianceDBS Research berkata, langkah itu berupaya meningkatkan dinamik industri yang menerima tekanan oleh persaingan harga yang sengit, selain permintaan lemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, YTL Cement dan Lafarge akan memiliki penguasaan pasaran bersama kira-kira 60 peratus, yang akan menghasilkan kuasa harga lebih baik.

“Kami menjangkakan permintaan simen akan pulih dengan pelaksanaan semula beberapa projek infrastruktur besar dan ini akan menyokong harga.

“Didorong oleh tinjauan lebih baik bagi industri simen, kami percaya Lafarge boleh mendapatkan penilaian lebih tinggi jika ia kekal disenaraikan. Oleh yang demikian, kami menasihatkan pelabur supaya tidak menerima tawaran itu,” katanya.

AllianceDBS Research berkata, ia tidak menolak kemungkinan YTL Corporation Bhd akan menyuntik YTL Cement ke dalam Lafarge pada masa akan datang, memandangkan YTL Cement berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Lafarge.

“Ini akan mewujudkan nilai pemegang saham yang lebih besar,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, ia menjangkakan Lafarge akan diniagakan hampir kepada harga tawaran RM3.75 dalam masa terdekat ini.

“Jika tawaran muktamad, kami percaya Lafarge akan mendapatkan penilaian lebih tinggi jika ia kekal disenaraikan,” katanya.

YTL Cement Bhd semalam memeterai perjanjian penjualan saham tanpa bersyarat dengan Associated International Cement Ltd untuk pengambilalihan 433.34 juta saham biasa, atau kira-kira 51 peratus daripada Lafarge untuk pertimbangan tunai berjumlah RM1.63 bilion.

Sehubungan itu, YTL Cement melanjutkan tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat untuk mengambil alih baki saham Lafarge selaras dengan Kod Pengambilalihan dan Percantuman Malaysia 2016.

Berita Harian X