Jumaat, 3 Mei 2019 | 8:04am

Untung suku ketiga Sunway REIT susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2019 berkurangan kepada RM68.91 juta daripada RM70.35 juta suku sama tahun lalu.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 7.1 peratus kepada RM151.50 juta daripada RM141.52 juta, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Syarikat itu berkata, perolehan lebih tinggi itu didorong terutamanya oleh prestasi kewangan lebih baik daripada segmen runcit dan pejabat, yang dipacu sumbangan pendapatan ketara daripada Sunway Clio Property.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Ng, berkata kumpulan itu menjangkakan pertumbuhan sederhana daripada segmen runcit dan pejabat bagi tempoh akan datang, ditambah sumbangan pendapatan tahun penuh daripada Sunway Clio Property serta sumbangan pendapatan berkadar daripada kampus dibina khas yang dibeli baru-baru ini.

Sunway REIT Management adalah pengurus Sunway REIT.

“Pembelian kampus yang dibina khas itu selesai pada 15 April 2019. Bagaimanapun, kami juga menjangkakan sektor hospitaliti terus suram disebabkan situasi lebihan penawaran dan ketibaan pelancong yang rendah,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X