Khamis, 2 Mei 2019 | 3:01pm
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May (tengah) bersama kakitangan-kakitangan Malaysian Airlines selepas majlis pelancaran 'Malaysian Hospitality' di Kuala Lumpur. Foto Nik Hariff Hassan.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May (tengah) bersama kakitangan-kakitangan Malaysian Airlines selepas majlis pelancaran 'Malaysian Hospitality' di Kuala Lumpur. Foto Nik Hariff Hassan.

MHassistant tingkatkan pengalaman pelanggan Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines melancarkan fasa kedua kempen 'Malaysia Hospitality' (MH) dengan menawarkan produk baharu yang direka khusus untuk meningkatkan pengalaman pelanggan sepanjang perjalanan.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May, berkata kempen MH pada tahun ini akan menawarkan lebih banyak manfaat kepada keseluruhan eko-sistem perjalanan.

“Tahun lalu, kami sudah melancarkan kempen itu dengan memfokuskan kepada perkhidmatan dan penawaran produk.

“Justeru, fasa seterusnya kempen kali ini ialah memperkenalkan aplikasi baharu iaitu MHassistant. Ia merangkumi pelbagai tawaran hebat, menerusi rangkaian rakan kongsi kami, seperti pilihan restoran, pengalaman membeli-belah,  kebudayaan dan pelbagai pengalaman unik di Malaysia, di seluruh negara.

“Aplikasi terbaharu itu akan dilancarkan sepenuhnya pada suku kedua tahun ini dan boleh dilayari menerusi peranti Android serta iOS,” katanya pada majlis memperkenalkan produk baharu MH dan cawangan penjualan tiket Malaysia Airlines di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Perolehan Malaysia Airlines, Ignatius Ong.

Fokus utama kempen MH adalah “melayan pelanggan seperti mana kita melayan tetamu yang berkunjung ke rumah”.

Mengulas lanjut, Yin May berkata, Malaysia Airlines juga merancang untuk memperkenalkan produk pakej percutian terbaharu, MHholiday bagi membolehkan pelanggan dapat menguruskan percutian dengan lebih baik.

“Menerusi pakej itu, pelanggan boleh menjadikan percutian lebih istimewa dengan menguruskan sendiri mengenai penerbangan, penginapan, aktiviti pelancongan dan pemilihan lokasi menarik serta terbaik di Malaysia.

“Produk berkenaan akan diperkenalkan menerusi laman web dan dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan ini,” katanya.

Beliau menambah, Malaysia Airlines sudah mempunyai senarai rakan kerjasama bagi menjalankan aplikasi itu dan ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Kerjasama itu akan membabitkan pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, penginapan dan tempat pelancongan di seluruh Malaysia,” katanya.

Berita Harian X