Khamis, 2 Mei 2019 | 2:47pm
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Zakri Khir (dua dari kanan) pada pelancaran kerjasama kedua-dua syarikat.

Allianz, Tesco tawar produk insurans dalam talian

KUALA LUMPUR: Allianz Malaysia Bhd dan Tesco Stores (M) Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik untuk menawarkan produk insurans dalam talian.

Menerusi kerjasama itu, produk Allianz Malaysia boleh didapati di laman web Tesco Malaysia, dengan menawarkan perlindungan insurans komprehensif bagi motor, penjagaan perjalanan, rumah pintar dan produk wira jalan yang ditambah baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores, Paul Ritchie, berkata Tesco Stores sentiasa mencari jalan untuk menyediakan kemudahan kepada pelanggan.

“Menerusi kerjasama dengan Allianz, kami gembira dapat menawarkan kepada 3.5 juta pelanggan Tesco Clubcard, peluang untuk membeli perlindungan insurans bagi memenuhi keperluan mereka,” katanya kepada pemberita pada pelancarannya di sini, hari ini.

Tesco Malaysia adalah rangkaian pasaraya pertama di Malaysia menawarkan produk insurans dalam talian.

Ritchie berkata, ahli Tesco Clubcard boleh mendapat mata ganjaran menerusi pembelian insurans dalam talian, dengan mata berganda diberikan kepada mereka yang berbuat demikian sepanjang tempoh pelancaran mulai semalam hingga 2 Jun 2019.

Tesco Stores (M) Sdn Bhd ialah syarikat usaha sama antara Tesco PLC dan Sime Darby Bhd.

Sementara itu, Allianz Malaysia Bhd, iaitu unit Allianz SE, mempunyai dua anak syarikat insurans, Allianz General Insurance Company (M) Bhd dan Allianz Life Insurance Malaysia Bhd.

-BERNAMA

Berita Harian X