Khamis, 2 Mei 2019 | 2:32pm
LafargeHolcim menjual seluruh kepentingannya dalam Lafarge Malaysia kepada YTL Cement.
LafargeHolcim menjual seluruh kepentingannya dalam Lafarge Malaysia kepada YTL Cement.

YTL beli operasi LafargeHolcim di Malaysia

KUALA LUMPUR: LafargeHolcim memeterai perjanjian bersama YTL Cement Bhd bagi menjual seluruh 51 peratus pegangan sahamnya dalam Lafarge Malaysia Bhd bernilai RM1.63 bilion.

Harga tawaran RM3.75 sesaham itu adalah 43 peratus berbanding tempoh dagangan 90 hari Lafarge Malaysia di pasaran saham tempatan.

Lafarge Malaysia mengendalikan tiga kilang simen bersepadu dan dua kilang pengisar.

Dengan penjualan itu, LafargeHolcim menghentikan sepenuhnya aktivitinya di negara ini.

YTL Cement adalah sebahagian daripada konglomerat infrastruktur yang bergiat aktif dalam pengeluaran simen, pembinaan, pembangunan hartanah dan utiliti, YTL Corporation Bhd.

Selain itu, LafargeHolcim memeterai perjanjian bersama YTL Cement Singapore Pte Ltd untuk menjual seluruh 91 peratus pegangan sahamnya dalam Holcim Singapore Ltd.

Hasil penjualan kedua-duanya akan membolehkan LafargeHolcim untuk terus memperbaiki nisbah hutangnya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jan Jenisch, berkata sebagai sebahagian ‘Strategi 2022 - Membina Pertumbuhan’, LafargeHolcim komited kepada proses pelupusan untuk terus mengukuhkan kedudukan kunci kira-kiranya.

Urus niaga dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2019 dan tertakluk kepada kelulusan sewajarnya.

Berita Harian X