Selasa, 30 April 2019 | 4:57pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Cukai gula beri impak jangka pendek perniagaan CSR

SHAH ALAM: Pengeluar gula tempatan, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) menjangkakan pelaksanaan cukai gula ke atas minuman bergula bermula 1 Julai ini akan memberi sedikit impak terhadap perniagaannya untuk tempoh jangka pendek.

Ketua Pegawai Operasinya, Victor Ng, berkata Malaysia bukanlah negara pertama yang mengenakan cukai gula dan di kebanyakan negara lain yang sudah melaksanakannya seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kadar penggunaan gula didapati tidak menurun dengan begitu ketara.

“Malah, cukai gula yang ingin dilaksanakan ketika ini hanya dikenakan kepada produk minuman yang sedia diminum dan masih banyak produk minuman lain tidak tertakluk dengan cukai ini. Maka, kami tidak melihat kejatuhan yang ketara dari segi jumlah pengeluaran produk minuman,” katanya pada taklimat media di kilangnya di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishammudin Hasan.

Pada majlis itu, media turut dibawa melawat kemudahan kilang CSR termasuk cara penghasilan gula kasar dan perang serta kaedah pembungkusannya.

Mengulas lanjut, Ng berkata, CSR juga sedang giat bekerja keras untuk meningkatkan pertumbuhan perniagaan syarikat daripada sektor pengguna sebagai sebahagian persediaan berdepan dengan pelaksanaan cukai gula itu.

Ketika ini, katanya sektor pengguna menyumbang 30 peratus kepada perniagaan syarikat dan merancang untuk meningkatkannya kepada 40 peratus dalam tempoh dua tahun ini.

“Kami kini sedang melakukan banyak pembinaan jenama termasuk melabur dalam pengiklanan dan pemasaran bagi mengukuhkan jenama CSR di mata pengguna.

“Ini kerasa selama ini gula sering kali dilihat sebagai produk komoditi, tetapi kami kini mahu mengubahnya dengan menjadikan CSR sebagai sebuah syarikat barangan pengguna cepat laris (FMCG),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, CSR tidak merancang untuk mengembangkan operasi perniagaan dalam tempoh terdekat ini termasuk membina kilang atau kemudahan baharu biarpun sudah menghampiri kapasiti penuh pengeluarannya ketika ini.

Katanya, kemudahan sedia ada dimiliki CSR sudah mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara yang dianggarkan menggunakan 1.5 juta tan metrik gula setahun.

“Kadar pengeluaran gula oleh industri setahun ialah tiga juta setahun dengan CSR mengeluarkan 800,000 tan metrik. Dari segi kadar pertumbuhan penggunaan gula di Malaysia hanya dua peratus setahun.

“Apa yang akan kami lakukan ialah meningkatkan tahap kecekapan pengeluaran di kilang kami bagi memastikan ia terus mampu menampung permintaan pasaran dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hishammudin berkata, CSR menyasar untuk menjual sehingga 4,000 tan metrik sebulan produk baharu dilancarkan November lalu iaitu Better Brown Gula Rendah Glisemik, produk gula yang lebih sihat pertama di Malaysia dan Asia yang memiliki Indeks Glisemik Rendah (GI).

Berita Harian X