Selasa, 30 April 2019 | 11:06am

PETRONAS alih tumpuan ke benua Amerika

KUALA LUMPUR: PETRONAS bergantung kepada rantau Amerika untuk membantu meningkatkan rizab dan mengekalkan kadar pengeluarannya, ketika pengeluaran minyak di telaga domestik terus berkurangan.

Firma minyak dan gas negara itu akan memperuntukkan bahagian lebih besar perbelanjaan modal akan datang untuk projek dari Kanada hingga Brazil, selepas harga minyak pulih daripada kejatuhan pada 2014 dan kemudahan penapisan serta petrokimia di Pengerang berjaya disiapkan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Minggu lalu, PETRONAS bersetuju untuk membeli kepentingan dalam dua lapangan luar pesisir di Brazil, sekali gus memperluaskan lagi portfolionya di rantau Amerika.

“Ada banyak peluang baharu untuk kami di sana,” kata Wan Zulkiflee dalam satu temubual di Kuala Lumpur, sambil menambah bahawa peralihan fokus itu tidak bermakna PETRONAS mengabaikan pasaran domestik.

Beliau berkata, PETRONAS masih memiliki ‘banyak lagi projek yang dirancang’ di Malaysia, termasuk rancangan untuk menambah perbelanjaan ke atas tenaga boleh diperbaharui.

PETRONAS kebiasaannya memperuntukkan antara RM45 bilion hingga RM55 bilion bagi perbelanjaan modal setiap tahun dan projek huluan akan memperoleh ‘bahagian lebih besar’ daripadanya pada masa akan datang, kata Wan Zulkiflee.

Antara yang akan mendapat bahagian daripada peningkatan perbelanjaan itu adalah usaha sama eksport gas asli di barat Kanada bersama Royal Dutch Shell Plc.

Tahun lalu, PETRONAS bersetuju untuk membeli 25 peratus kepentingan dalam projek LNG Canada bernilai C$40 bilion (RM123 bilion).

Wan Zulkiflee berkata, kos pembinaan akan meningkat untuk beberapa tahun akan datang dan PETRONAS perlu meningkatkan perbelanjaan ke atas penggerudian gas.

PETRONAS juga merancang untuk melabur AS$2.3 bilion (RM9.5 bilion) dalam tempoh empat tahun untuk lapangan minyak syal Vaca Muerta di Argentina bersama syarikat minyak YPF SA, selain mempunyai kepentingan dalam 10 blok luar pesisir di Mexico.

Kerja penggerudian di Mexico akan bermula pada suku ketiga.

Pembelian kepentingan dalam lapangan minyak Brazil daripada Petroleo Brasileiro SA bernilai AS$1.29 bilion (RM5.3 bilion) membawa komitmen perbelanjaan lebih tinggi memandangkan syarikat terbabit akan meningkatkan pengeluaran.

Bagaimanapun, perbelanjaan lebih tinggi tidak bermakna lebih banyak pinjaman dibuat.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS tiada rancangan untuk memasuki pasaran bon dan mempunyai tunai yang kukuh.

Berdasarkan penyata kewangan terkini, PETRONAS mempunyai tunai dan bersamaan tunai sebanyak RM172.5 bilion setakat 31 Disember 2018.

PETRONAS juga meninjau untuk membangunkan perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

Ia membuat kemunculan pertama dalam sektor tenaga bersih bulan ini selepas bersetuju membeli Amplus Energy Solutions Pte daripada I Squared Capital, bagi menghasilkan tenaga solar 500 megawatt, sama ada yang beroperasi atau sedang dibangunkan.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS merancang memperuntukkan sehingga lima peratus perbelanjaan modal tahunannya untuk segmen berkenaan dan akan meninjau lebih banyak peluang di Malaysia, dengan menumpukan kepada solar dan angin.

-Bloomberg

Berita Harian X