Isnin, 29 April 2019 | 1:23pm
Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Public Bank catat untung sebelum cukai RM1.82 bilion

KUALA LUMPUR: Public Bank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.82 bilion bagi suku pertama 2019, meningkat 1.4 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Sementara itu, keuntungan bersihnya dalam suku dikaji juga meningkat 0.3 peratus kepada RM1.41 bilion.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata keuntungan konsisten Public Bank khususnya disumbangkan oleh pertumbuhan deposit dan pinjaman kumpulan yang teguh, disokong oleh kemantapan kualiti aset.

Katanya, di sebalik landskap perbankan yang semakin mencabar, kumpulan mencatatkan pertumbuhan tahunan 4.8 peratus pertumbuhan deposit dan 4.9 peratus pertumbuhan pinjaman pada suku pertama 2019.

“Ketika persekitaran operasi masih lagi diselubungi cabaran yang semakin meningkat dan ketidaktentuan berterusan, Public Bank Group terus mengekalkan kedudukan utama sebagai bank Malaysia paling cekap kos dengan kualiti aset terbaik.

“Ini benar-benar dicerminkan oleh pulangan ke atas ekuiti bersih yang tinggi sebanyak 14 peratus, nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 33.8 peratus dan nisbah rosot nilai pinjaman kasar terendah sebanyak 0.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama 2019, jumlah pinjaman kasar Public Bank Group berkembang pada kadar tahunan 3.9 peratus, manakala pinjaman domestik pada kadar lebih pantas 4.8 peratus, di sebalik cabaran dalam persekitaran operasi.

Peningkatan dalam portfolio pinjaman kumpulan disumbangkan khususnya oleh pertumbuhan kukuh dalam pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelanggan korporat bagi pembelian hartanah komersial dan modal kerja.

Kedudukan pasaran kumpulan juga terus mantap apabila mengekalkan penguasaan pasaran domestik 19.8 peratus, 35.2 peratus dan 28.7 peratus masing-masing dalam segmen pembiayaan pembelian hartanah kediaman, hartanah komersial serta kenderaan penumpang.

Hong Piow berkata, kedudukan kukuh kumpulan dalam pasaran pembiayaan mencerminkan peranan proaktif dalam menyokong keperluan pembiayaan pelanggan dan perniagaan.

“Bagi mengekalkan kestabilan dan kemapanan kewangan, kumpulan juga menekankan amalan pembiayaan berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.

Berita Harian X