Khamis, 25 April 2019 | 8:06pm
TUN Dr Mahathir Mohamad bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Li Zhanshu (dua, kanan) ketika mesyuarat dua hala di Great Hall of the People. - Foto BERNAMA

Potensi pembinaan hab AI pertama Malaysia semakin cerah

KUALA LUMPUR: Kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Forum Belt and Road (BRI) di Beijing minggu ini bakal menyaksikan pemeteraian perjanjian mega pembinaan hab taman kepintaran buatan (AI) pertama Malaysia bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.13 bilion).

Ia berdasarkan jadual rasmi lawatan kerja lima hari Perdana Menteri itu turut menyenaraikan kunjungan beliau di beberapa syarikat berteknologi tinggi termasuk firma teknologi kepintaran buatan (AI) terkemuka China, SenseTime Private Ltd.

Projek pembinaan hab AI pertama Malaysia sebelum ini diumumkan G3 Global Bhd dan SenseTime yang merancang membinanya dengan kerjasama China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC) iaitu anak syarikat kontraktor China Communications Construction Company (CCCC).

Pengerusi Eksekutif G3 Global, Wan Khalik Wan Muhammad, berkata rancangan pembinaan hab AI dengan pelaburan keseluruhan AS$1 bilion dalam tempoh lima tahun itu bertujuan mempercepatkan pertumbuhan sektor AI Malaysia.

Katanya, taman itu akan menjadi platform pembangunan pelbagai penyelesaian berkaitan teknologi AI di negara ini termasuk penglihatan komputer, pengecaman pertuturan, dan robot.

“Kemuncaknya, hab AI ini akan memangkin pembangunan teknologi dan bakat, pengurusan data, penyelidikan dan pembangunan, serta ekosistem komersial yang boleh membantu kerajaan menguruskan ekosistem data dan AI Malaysia.

“Kami melihat potensi besar AI di Malaysia dan dalam era digital ini, idea membangunkan hab AI kini penting bagi menjayakan penyelidikan teknologi itu dalam pembangunan infrastruktur perkhidmatan awam sebagai asas untuk mempromosikan teknologi AI pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataannya di laman web G3 Global, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan SenseTime International, Martin Huang, dalam kenyataan bersamanya berkata pihaknya bersedia memberikan sokongan kepakaran dalam bidang AI untuk membantu G3 membangunkan dan mengendalikan hab terbabit.

Berita Harian X