Khamis, 25 April 2019 | 3:18pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols, Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Kewangan Nestle Malaysia, Craig Connolly pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-35 syarikat di Kuala Lumpur. Foto Amirudin Sahib.

Nestle sedia RM220 juta kukuh perniagaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Nestle Malaysia Bhd memperuntukkan RM220 juta bagi perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun, yang juga pelaburan tertingginya setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols, berkata rancangan memperuntukkan capex lebih tinggi adalah membolehkan Nestle memanfaatkan peluang baharu bagi barisan produk kumpulan.

Katanya, Nestle yakin bahawa strategi kukuh akan membolehkan kumpulan terus menjana pertumbuhan mantap, menguntungkan dan mapan pada 2019.

"Kami komited untuk terus melabur di Malaysia dan sebagai bukti, kami telah memperuntukkan capex sebanyak RM220 juta bagi tahun ini yang sebahagian besarnya akan digunakan untuk meluaskan kilang di Chembong, Negeri Sembilan bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Pengeluaran Milo terbesar di dunia.

"Lebih kurang RM100 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan kilang itu yang mengkhusus kepada pengeluaran produk Milo, KitKat serta aiskrim. Baki capex terbabit kami akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan setakat ini Nestle mempunyai tujuh kilang beroperasi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Nestle di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Nestle, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Kewangannya, Craig Connoly.

Nestle berjaya mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dengan meraih pendapatan sebanyak RM5.5 bilion, meningkat 4.9 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Keuntungan bersih turut meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada RM659 juta.

Mengulas lanjut, Aranols berkata, berdasarkan prestasi kukuh kumpulan, Lembaga Pengarah mencadangkan dividen akhir RM1.40 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Sementara itu, beliau berkata, inovasi kekal sebagai pemacu pertumbuhan penting kepada Nestle dan kumpulan menjangkakan segmen inovasi akan menyumbang sebanyak 15 peratus kepada jumlah jualan.

"Pada masa ini segmen inovasi menyumbang kira-kira 10 peratus dan kami percaya jumlah itu akan meningkat kepada 15 peratus dalam tempoh dua hingga empat tahun terutama menerusi pengenalan barisan produk baharu," katanya.

Berita Harian X