Isnin, 22 April 2019 | 5:37pm
(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia, Zuhairi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia dan Pengarah Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia, David Fike; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad, Joel Kornreich dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama bankasurans dan bancatakaful antara Alliance Bank dan Zurich Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Alliance Bank, Zurich Malaysia jalin usaha sama bankasurans

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) dan anak syarikatnya, Alliance Islamic Bank Bhd (Alliance Islamic Bank) menjalin kerjasama bankasurans dan bankatakaful dengan Zurich Malaysia melalui Zurich General Insurance Malaysia Bhd dan Zurich General Takaful Malaysia Bhd (Zurich Malaysia).

Kerjasama berkenaan adalah untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Melalui kerjasama itu, Alliance Bank bakal mengukuhkan kedudukannya dalam menyediakan penyelesaian kewangan lengkap bagi individu dan komuniti perusahaan kecil sederhana (PKS) menerusi tawaran produk insurans am dan takaful am Zurich Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich, berkata tawaran kedua-dua penyelesaian insurans dan takaful am itu akan membolehkan pihaknya memenuhi keperluan khusus pelanggan sejajar dengan visi bank itu untuk membina pakatan bagi meningkatkan kehidupan.

“Untuk tempoh 15 tahun akan datang, kami jangka kerjasama ini mampu untuk menjana nilai perkongsian sebanyak RM200 juta,” katanya selepas menandatangani perjanjian kerjasama bankasurans dan bankatakaful antara Alliance Bank dan Zurich Malaysia di sini, hari ini.

Bermula 1 Mei 2019, produk insurans dan takaful am Zurich Malaysia akan ditawarkan melalui 81 cawangan Alliance Bank yang memiliki 860 pakar jualan serta saluran digital.

Produk yang akan ditawarkan bermula daripada perlindungan terhadap kerosakan kebakaran bagi pemilik hartanah individu dan komersial diikuti PKS dan insurans peribadi serta pelan takaful yang akan memenuhi keperluan dalam kalangan pelanggan Alliance Bank.

“Kami menjangkakan pelaksanaan penuh bagi pemasaran produk Zurich Malaysia dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance dan Pengarah Eksekutif Zurich General Takaful, David Fike, berkata pihaknya akan memastikan keperluan insurans adalah mencukupi dengan cara menyediakan akses dan mampu milik berikutan jurang penembusan insurans am di negara ini adalah 1.23 peratus daripada negara.

Menurutnya, kerjasama dengan Alliance Bank itu adalah sejajar dengan aspirasi pihaknya untuk meningkatkan perniagaannya melalui kepelbagaian saluran pengeluaran.

“Memperluas saluran pengeluaran kami adalah salah satu cara untuk mencapai liputan pelanggan dengan lebih pantas dengan cara menawarkan pengalaman berlainan melalui produk inovatif, tidak rumit dan perkhidmatan tambahan kepada Alliance Bank melalui bankasurans dan bankatakaful,” katanya.

Berita Harian X