Jumaat, 19 April 2019 | 2:42pm
Ketua Bahagian Jualan dan Pengagihan Allianz General, Horst H Habbig. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman.

Allianz Motorcycle Plus lindungi penunggang

Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd, cabang insurans am Allianz Malaysia Bhd, melancarkan insurans motosikal yang pertama bagi motosikal di bawah 245cc, Allianz Motorcycle Plus, yang meliputi perlindungan ke atas motosikal dan juga penunggang.

Ketua Bahagian Jualan dan Pengagihan Allianz General, Horst H Habbig, berkata perlindungan insurans itu terdiri dua kategori iaitu Allianz Motorcycle Plus (komprehensif) dan Allianz Motorcycle Plus (pihak ketiga sahaja).

“Dengan 13.6 juta motosikal berada di jalan raya pada tahun lalu dan menjadi punca utama kemalangan maut, adalah penting untuk dilindungi insurans. Setakat ini, insurans motosikal yang lain di negara ini hanya melindungi kenderaan, bukan penunggang,” kata pada sidang media pada pelancaran mudah Allianz Motorcycle Plus di sini, hari ini.

Allianz Motorcycle Plus (komprehensif) meliputi perlindungan kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal, pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari dan perlindungan insurans khas jumlah penuh bagi semua bahaya yang meliputi banjir, tanah runtuh dan bencana alam yang lain.

Sementara itu, Allianz Motorcycle Plus (pihak ketiga sahaja) menawarkan perlindungan kemalangan sebanyak RM5,000 bagi kematian dan hilang upaya kekal, serta pendapatan hospital sebanyak RM50 sehari sehingga 60 hari tanpa sebarang premium tambahan.

“Premium insurans bagi Allianz (komprehensif) adalah antara RM150 dan RM230 dan RM70 hingga RM100 bagi pihak ketiga. Perlindungan ini tanpa kos tambahan dikenakan kepada penunggang berikutan kebanyakan polisi insurans ketika ini adalah pada kadar hampir sama,” katanya.

Berita Harian X